Utara Gaza bagaikan neraka

Iklan
Penduduk Palestin tidak dapat menahan kesedihan kerana kehilangan ahli keluarga dalam serangan ganas Zionis.

BEIT LAHIA -"Lebih 2,000 orang awam di utara Genting Gaza menjadi korban kezaliman rejim Zionis dalam tempoh 38 hari.”

Laporan itu didedahkan Pejabat Media Hamas selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan kempen pembersihan etnik berskala besar sejak akhir September lalu.

Iklan
Iklan
Salah seorang kanak-kanak yang berada di sempadan Syria-Lubnan selepas melarikan diri bersama keluarganya menuju ke Damsyik.

"Kebanyakan mangsa yang gugur syahid ialah kanak-kanak, wanita dan warga emas. Komuniti antarabangsa perlu bertindak untuk menghentikan perang genosid yang makin melampaui batas ini,” kata ketua pejabat itu, Ismail al-Thawabta.

Al-Thawabta turut mendakwa Amerika Syarikat (AS), Britain dan beberapa negara Eropah bertanggungjawab terhadap kekejaman yang berterusan di Gaza.

Iklan

"Negara Barat ternyata bersekongkol di bawah 'kempen kelaparan dan genosid' ke atas penduduk Palestin,” tegasnya.

IDF memperhebatkan kempen pengeboman ke atas 'bandar khemah' di Gaza.

Zionis juga mengedarkan peta palsu yang kononnya menunjukkan lokasi zon selamat ciptaan mereka untuk golongan yang diarah berpindah secara paksa sedangkan kawasan itu terus dihujani bom dan misil.

Iklan

Bukan hanya membunuh orang tidak berdosa, Zionis turut membakar sekolah dan hospital yang menjadi tempat berlindung penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal.

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di kawasan kejiranan selatan Beirut yang dibedil bertalu-talu.

Petugas media yang berada di zon tempur di utara Gaza termasuk Jabalia mengesahkan unit kereta kebal IDF membedil kawasan penempatan orang awam dan menembak mati sesiapa sahaja yang cuba melarikan diri.

300,000 kanak-kanak lari ke Syria

Sementara itu, pertubuhan amal, Save the Children mendedahkan hampir 300,000 kanak-kanak telah melarikan diri dari Lubnan ke Syria sejak tujuh minggu lalu selepas rejim Zionis memperhebatkan kempen pengeboman ganas ke atas Beirut setelah konflik rentas sempadan tercetus lebih setahun lalu.

Pengarah Tindak Balas Save the Children di Damsyik, Rasha Muhrez pada Selasa berkata, sebahagian besar daripada golongan itu turut tiba bersama dengan keluarga masing-masing berikutan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Lubnan.

"Majoriti daripada mereka memerlukan rawatan untuk malnutrisi akut sama seperti yang menimpa kanak-kanak di Gaza,” ujarnya.

Susulan itu, Muhrez menekankan keperluan untuk suntikan dana yang mengutamakan keperluan dan usaha pemulihan golongan tersebut serta memberikan sumbangkan kepada komuniti yang memberi perlindungan kepada mereka.

"Ramai kanak-kanak yang melakukan perjalanan sendiri tanpa pengawasan orang dewasa. Mereka terdedah kepada sindiket pemerdagangan manusia dan diserang penyakit menjelang musim sejuk,” katanya lagi.

Menurut data Save the Children, dianggarkan 70 peratus daripada mereka yang melarikan diri dari Lubnan adalah warga Syria dan selebihnya rakyat Lubnan dan negara lain.

Difahamkan, kira-kira 1.5 juta pelarian Syria berlindung di Beirut sejak perang saudara berlarutan di negara itu pada 2011.

"Kira-kira 60 peratus daripada golongan itu ialah kanak-kanak dan remaja yang tiba sehelai sepinggang.

"Data pemerintah Lubnan menunjukkan kira-kira 1.2 juta penduduk daripada kira-kira 5.35 juta populasi di Lubnan hilang tempat tinggal sejak perang tercetus pada 23 Oktober lalu,” jelasnya. - Agensi