ABU DHABI - Malaysia sedang meneroka kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (Nadma) dan Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis, dan Bencana Nasional (NCEMA) Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebuah badan utama di bawah Majlis Keselamatan Negara yang mempunyai kepakaran luas dalam pengurusan krisis merentasi pelbagai sektor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia akan memberikan tumpuan kepada pelbagai peluang kerjasama, terutamanya dalam pengurusan bencana.
"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, saya melihat ini adalah nilai tambah yang baik buat Malaysia untuk mempelajari amalan pengurusan krisis seperti UAE.
"Pengalaman UAE dalam menangani cabaran bencana yang kompleks memberikan pengetahuan berharga dalam usaha Malaysia untuk memperkukuh kesiapsiagaan bencana,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat NCEMA, di sini pada Khamis.
"Pertama, pemerhatian bumi (earth observation - EO) dengan menggunakan imej satelit untuk mengumpul data kritikal mengenai corak cuaca, paras laut, dan keadaan persekitaran serta memberikan amaran awal terhadap potensi bencana.
"Kedua, sistem platform ketinggian tinggi (high altitude platform system - HAPS) menggunakan dron dan belon ketinggian tinggi untuk menangkap data bagi meningkatkan kesedaran situasi di kawasan yang terjejas,” ulas beliau.
Ujarnya, langkah ketiga ialah kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan bencana iaitu menggunakan teknologi AI untuk meramalkan bencana berdasarkan data sejarah, membolehkan amaran awal, ramalan jenis bencana dan perancangan logistik.
"Selain itu, penggunaan kenderaan tindak balas bencana khas dengan mengambil pengajaran daripada penggunaan kenderaan canggih UAE dalam pengurusan bencana untuk tindak balas yang lebih berkesan dan pantas,” ujar Ahmad Zahid.
Tambahnya, kerjasama itu juga akan mengukuhkan lagi usaha dalam menyediakan bantuan bencana kepada negara jiran, seperti Indonesia dan Filipina.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengadakan perbincangan bersama Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohamed Al Mazrouei bagi menerokai peluang kerjasama dalam sektor halal, termasuk pensijilan dan pengembangan potensi perdagangan halal.
"Kami turut membincangkan inisiatif untuk memajukan usaha tenaga boleh diperbaharui di Malaysia serta meneroka kerjasama dalam sektor latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memudahkan pertukaran pengetahuan,” ulasnya.