SHAH ALAM - Waris kepada pendeposit Simpan SSPN dari Masjid Tanah, Melaka iaitu Allahyarham Hasnatul Adilah Hassan, 49, menerima manfaat sebanyak RM129,230.
Arwah Hasnatul Adilah yang bekerja sebagai guru meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 8 Jun lalu.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, penabungan dalam Simpan SSPN diharap dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit.
"Sememangnya nilai ini tidak dapat mengembalikan nyawa insan yang tersayang, namun dengan manfaat diterima mampu memastikan pendidikan anak-anak arwah diteruskan dan kelangsungan hidup mereka lebih terjamin.
"Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN sentiasa komited memastikan aspek pendidikan terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menerusi program Ziarah PTPTN Prihatin, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut hadir melawat waris arwah Hasnatul Adilah sambil ditemani Norliza untuk menyerahkan replikasi kad manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian Simpan SSPN.
Hadir sama, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar serta Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Melaka, Mas Anisah Ayu Othman.
Norliza memaklumkan, Allahyarham merupakan pendeposit Simpan SSPN Prime dan telah membuka akaun untuk dua orang anaknya pada 15 Jun 2020 serta mempunyai simpanan yang melayakkannya menerima manfaat perlindungan takaful berjumlah RM1,230 selain khairat kematian RM2,000.
Tambah beliau, ia menjadikan keseluruhan manfaat Simpan SSPN Prime diterima berjumlah lebih RM3,230.
"Allahyarham juga membuka akaun Simpan SSPN Plus untuk dua orang anak di bawah Pakej Intan RM30 sebulan iaitu simpanan RM20 dan caruman takaful RM10.
"Melalui caruman takaful RM20 sebulan bagi dua akaun, Hasnatul Adilah dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful (kematian kemalangan) berjumlah RM120,000 dan khairat kematian RM6,000.
"Ini menjadikan Simpan SSPN Plus yang diterima RM126,000 dan jumlah keseluruhan manfaat Simpan SSPN sebanyak RM129,230,” ujarnya.
Untuk makluman, PTPTN mempunyai dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai keistimewaan.
Sebarang butiran lanjut berhubung Simpan SSPN boleh didapati melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.