Padah muat naik video serbuan Imigresen di TikTok

Iklan
JIM Kuala Lumpur menahan 51 warga asing dalam serbuan di kediaman flat di Segambut pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki warga Indonesia merakam video operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum memuat naik di aplikasi sosial TikTok akhirnya menjerat diri apabila ditahan pada Jumaat.

Serbuan JIM Kuala Lumpur yang bermula jam 12.15 tengah malam di sebuah flat di Segambut itu berjaya menahan 51 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI).

Iklan
Iklan

Semasa serbuan hampir berakhir bagi membawa PATI masuk ke dalam lori JIM, lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah merakamnya dengan kapsyen agar rakan-rakannya yang melakukan kesalahan imigresen untuk berhati-hati.

Seorang lelaki warga Indonesia (tengah) ditahan gara-gara tindakannya merakam operasi yang dilakukan JIM Kuala Lumpur di Segambut pada Jumaat.

Pada awalnya perbuatan lelaki itu telah disedari pegawai operasi dan ditegur agar tidak melakukan tindakan sedemikian, namun dia berdegil dan terus merakam.

Iklan

Lelaki itu kemudian ditahan dan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Sinar Harian yang mengikuti operasi terbabit mendapati, rata-rata PATI yang ditahan merayu agar tidak dikenakan tindakan.

Iklan

Malah ada antara mereka cuba melengahkan pemeriksaan di unit kediaman rumah masing-masing apabila enggan membuka pintu.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, PATI yang ditahan terdiri daripada 44 lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.

Wan Mohammed Saupee menjalankan pemeriksaan awal ke atas warga asing dalam serbuan di sebuah flat di Segambut, pada Jumaat.

"Pecahan tangkapan berusia tiga hingga 45 tahun membabitkan 40 warga Bangladesh, Indonesia (6 orang), Nepal (4 orang) dan seorang Pakistan.

"Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada pas atau permit sah dan tinggal lebih masa," katanya selepas serbuan di sini pada Jumaat.

Tambahnya, kebanyakan PATI yang ditahan bekerja sebagai buruh binaan dan pembantu kedai dengan menyewa unit flat terbabit pada kadar bayaran RM900 hingga RM1,000 sebulan.

Pemeriksaan yang dilakukan di beberapa unit rumah di sebuah flat di Segambut pada Jumaat.

Katanya, tindakan serbuan ini dilaksanakan susulan aduan awam sebelum risikan dilakukan selama dua minggu.

"Kita telah memeriksa 38 unit kediaman selain tindakan juga akan diambil terhadap pemilik premis kerana bersekongkol dengan membenarkan PATI berada di rumah berkenaan," ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan mereka yang melakukan kesalahan tidak akan terlepas dengan tindakan undang-undang.