Syarikat import telur gagal saman Azmin Ali

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 14 April tahun lalu mengenai sebuah syarikat pengimport telur failkan saman terhadap Azmin.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd gagal dalam samannya terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat berhubung kontrak mengimport telur dari India.

Hakim, Leong Wai Hong menolak saman berkenaan selepas mendapati syarikat pengimport telur itu gagal membuktikan semua elemen fitnah yang didakwa bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Iklan
Iklan
Justeru mahkamah memerintahkan J&E Advance Tech sebagai plaintif membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu selaku defendan.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Wai Hong berkata, syarikat itu perlu membuktikan bahawa kenyataan defendan mengandungi unsur fitnah dan merujuk kepadanya.

Bagaimanapun beliau berkata, mahkamah mendapati Ketua Pembangkang DUN Selangor berusia 60 tahun itu, tidak memfitnah plaintif.

Iklan

"Kenyataan yang didakwa berbaur fitnah itu tidak merujuk pada plaintif, sebaliknya kepada ahli perniagaan, Deepak Jaikishan yang tidak memegang sebarang jawatan dalam syarikat terbabit.

"Deepak bukan pengarah dalam syarikat terbabit, maka plaintif gagal membuktikan kenyataan sebagai memfitnahnya,” katanya.

Iklan

Dalam prosiding ini, Mohamed Azmin tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Nizamuddin Abdul Hamid mewakili sementara plaintif oleh peguam, Bhavanash Sharma.

Selepas prosiding selesai, Sharma memberitahu media bahawa, anak guamnya memberi arahan supaya mereka membuat rayuan berhubung keputusan terbabit.

J&E Advance Tech memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin pada 12 April 2023 kerana beliau mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan untuk mengimport telur dari India.

Syarikat itu mendakwa defendan telah membuat dan menerbitkan satu ucapan memfitnah syarikat berkenaan dalam 'Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman' di Taman Melewar di sini pada 11 Mac lepas dan kenyataannya itu telah diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik, termasuk YouTube.

Menurut J&E Advance, walaupun nama syarikat itu tidak dinyatakan dalam ucapan memfitnah tersebut, namun ia jelas merujuk kepada plaintif.

Ini kerana ia satu-satunya syarikat Malaysia yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam sidang Parlimen pada 8 Mac tahun sama.

Menurut syarikat itu, kenyataan tersebut tidak benar dan melampau yang mana syarikat berkenaan tidak pernah terlibat dan tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa rundingan terus dengan Kerajaan Malaysia.