Pihak berkuasa Brazil siasat insiden letupan sebagai ancaman keganasan

Iklan
Polis Persekutuan Brazil pada Khamis mendedahkan bahawa dua letupan di luar bangunan kerajaan di Brasilia disiasat sebagai sebahagian daripada rancangan keganasan oleh kumpulan pelampau berhaluan kanan.Foto Reuters

MEXICO CITY - Polis Persekutuan Brazil pada Khamis mendedahkan bahawa dua letupan di luar bangunan kerajaan di Brasilia disiasat sebagai sebahagian daripada rancangan keganasan oleh kumpulan pelampau berhaluan kanan.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa seorang lelaki bertindak meletupkan dua bom dalam percubaan serangan yang gagal.

Iklan
Iklan

Lelaki itu, Francisco Wanderley Luiz, seorang ahli parti Partido Liberal (PL) berhaluan kanan pimpinan bekas Presiden Jair Bolsonaro memandu sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan ke arah Mahkamah Agung.

Fius dalam kereta terbakar, menyebabkan letupan awal tetapi gagal memicu bom yang lebih besar.

Iklan

Dia kemudian keluar dari kenderaan dengan membawa bahan letupan dan peledak, lalu berlari ke arah pintu masuk mahkamah dalam cubaan memecah masuk bangunan.

Beberapa saat kemudian, satu lagi letupan berlaku, menyebabkan kematiannya.

Iklan

Pihak berkuasa mendapati bahawa Luiz tidak bertindak bersendirian dan mungkin dibantu oleh kumpulan pelampau.

"Kami difahamkan bahawa kejadian semalam bukanlah peristiwa terpencil tetapi berkaitan dengan beberapa tindakan lain,” kata Pengarah Polis Persekutuan, Andrei Passos Rodrigues pada sidang media.

Rodrigues juga mengarahkan siasatan dan kes dirujuk kepada Mahkamah Agung, memandangkan dakwaan perbuatan mencabuli kedaulatan undang-undang demokratik dan dikategorikan sebagai keganasan.

Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes mengutuk serangan itu, menyalahkan polarisasi politik yang semakin mencengkam negara sejak beberapa tahun lalu dan menuding jari kepada Bolsonaro.

Moraes berkata bahawa retorik kebencian ini terus berkembang, merosakkan kepercayaan terhadap institusi negara dan semakin memuncak dalam serangan seperti yang berlaku pada 8 Januari.

Sementara itu, Bolsonaro dalam satu kenyataan di media sosial pada Khamis, mengecam serangan berkenaan sambil menyifatkannya sebagai 'peristiwa menyedihkan' dan menyeru kepada dialog demi mempertahankan demokrasi dan kebebasan. - Bernama