KUANTAN - Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KM Healthcare) melalui anak syarikatnya KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan) terus melebarkan sayapnya dengan menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit kanser (onkologi) bermula Januari tahun depan.
Pengerusi KMI Kuantan, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata, perkhidmatan tersebut memudahkan pesakit khususnya di sini untuk mendapatkan rawatan tanpa perlu pergi ke ibu kota, Kuala Lumpur.
Menurutnya, rawatan kimoterapi adalah salah satu rawatan yang boleh diberikan mulai tahun depan diikuti dengan rawatan radioterapi dan perubatan nuklear.
"Selain itu mulai pertengahan tahun depan, KMI Kuantan akan mengembangkan sayapnya dengan memulakan projek bangunan baharu untuk menampung operasi bangunan sedia ada.
"Sebanyak 80 bilik persendirian, 30 klinik tambahan dan tiga pusat kecemerlangan perubatan jantung, mata dan pakar orthopedik dijangka siap menjelang 2028 sekali gus menjadi mercu tanda baharu di Kuantan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Penyerahan Zakat dan Sambutan Sedekad KMI Kuantan di Indera Mahkota di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi Ali, Pengurus Besar KMI Kuantan, Muhammad Ghazali Zainal Yusof dan Timbalan Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, Che Samsol Ibrahim.
Mengulas sumbangan zakat oleh KMI Kuantan, Satipul berkata, hampir RM800,000 diserahkan iaitu RM398,185.47 kepada PKZ Pahang dan selebihnya terhadap Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi tahun kewangan 2023.
Ujarnya lagi, dana itu untuk menyokong pelbagai inisiatif amal dan program di bawah seliaan PKZ Pahang dan MAIDAM khususnya dalam membantu komuniti kurang berkemampuan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
"KMI Kuantan sangat komited bukan sahaja menyediakan perkhidmatan perubatan terbaik tetapi Insya-ALLAH akan menjadi syarikat korporat yang bertanggungjawab dan sumbangan zakat ini sebagai bukti dedikasi syarikat terhadap pembangunan komuniti dan kebajikan masyarakat," tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu hospital tersebut telah menunjukkan kejayaan konsisten selepas sedekad menerusi peningkatan hasil didorong pertambahan jumlah pesakit dalam, Kadar penghunian katil yang tinggi dan peningkatan purata hasil pesakit dalam.
"Malah pada September lalu, KMI Kuantan telah diberi penghormatan sebagai salah satu syarikat berprestasi terbaik dan paling berpotensi dalam Program Pengarah Korporat Terengganu Inc," katanya.
Mula ditubuhkan sejak 1997 dan beroperasi di bangunan baharu terletak di Indera Mahkota pada 2014, KMI Kuantan memiliki 155 bilik perseorangan dengan kekuatan 30 perunding tetap pelbagai disiplin perubatan dan 10 perunding lawatan.