DALAM konteks masyarakat majmuk berbilang agama, bangsa dan kepercayaan, komunikasi menjadi kunci untuk membina kefahaman antara entiti dan mengajarkan kita menghargai perbezaan.
Kepelbagaian rencam pemikiran, pendekatan politik, taraf akademik dan status serta kecenderungan beragama adalah antara punca timbulnya pelbagai polemik dan konflik.
Salah satu cara yang berkesan untuk mencapai objektif tersebut adalah dengan memperbanyakkan budaya dialog dalam kalangan masyarakat.
Kenapa dialog?
Dialog berbeza dengan debat. Dalam debat, tujuan utama adalah mempertahankan pendirian masing-masing dan setiap pihak sedaya upaya cuba untuk 'menang'.
Sebaliknya dialog bertujuan mencari titik persamaan bahkan boleh melahirkan pemahaman atau sudut pandang baharu.
Melalui dialog, kita dapat menemukan perspektif yang mungkin belum pernah difikirkan sebelum ini.
Budaya dialog membantu mengatasi sikap egois dan dogmatik yang cenderung menutup diri daripada mempelajari dan menerima pandangan orang lain.
Apabila seseorang hanya mendengar pendapat yang selari dengan kecenderungannya sendiri, dia mungkin terjebak dalam apa yang dikenali sebagai echo chamber iaitu situasi di mana maklumat dan idea hanya diperkukuhkan oleh sudut pandangan yang sama.
Akibatnya dia menjadi kurang terbuka dan sukar menerima kebenaran yang berbeza.
Islam menolak budaya taasub dalam apa jua perkara, sama ada keturunan, agama, atau cara fikir dan pendekatan.
Perbezaan ini merupakan perkara tabii dalam kehidupan manusia dan tentunya ada hikmah di sebalik penciptaan ALLAH ini.
Mencari kebenaran melalui dialog
Kebenaran dalam konteks ini bukanlah kebenaran mutlak yang sama bagi setiap orang, tetapi kebenaran yang dapat diterima oleh semua pihak yang terlibat dalam dialog.
Melalui dialog yang sihat, setiap orang diajak untuk terbuka terhadap idea dan pandangan orang lain serta menilai semula kepercayaan yang mungkin sudah tertanam dalam dirinya.
Dalam proses ini, adalah penting untuk menjaga prinsip saling menghargai dan mendengar.
Dialog yang baik menuntut setiap peserta untuk mendengar dengan teliti, membuka minda dan hati, membuang segala prejudis dan bias, bukan sekadar mendengar untuk memberi respons atau membantah.
Dengan mendengar, kita dapat memahami alasan di sebalik sudut pandangan orang lain dan, akhirnya, menemukan kebenaran bersama.
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling aku cintai antara kalian dan yang paling dekat kedudukannya dengan aku di hari kiamat kelak adalah orang yang terbaik akhlaknya. Dan orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat kelak adalah as-sarsarun, al-mutasaddiqun dan al-mutafaihiqun.”
Sahabat bertanya:"Ya Rasulullah, kami sudah tahu erti as-sarsarun dan al-mutasaddiqun, tetapi apakah yang dimaksudkan dengan al-mutafaihiqun?” Baginda SAW menjawab,"(Iaitu) orang yang sombong.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Daripada hadis ini, apa yang dimaksudkan dengan as-sarsarun adalah orang yang banyak bercakap dan suka mencela perbicaraan orang lain seolah-olah mereka sahaja yang berhak untuk bersuara.
Al-mutasaddiqun pula adalah orang yang suka berbicara dengan gaya bicara yang meremehkan orang lain seolah-olah dia adalah orang yang paling fasih (ia dilakukannya kerana kesombongan dan bangga diri yang berlebihan).
Al-mutafaihiqun sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi SAW iaitu orang yang sombong.
Membudayakan dialog dalam kehidupan seharian
Islam menganjurkan kita untuk berdialog mencari kata sepakat. Berikut beberapa langkah yang boleh kita ambil:
1 - Menghargai pendapat orang lain
Hargai setiap pendapat, walaupun ia mungkin tidak selari dengan pandangan peribadi dan kecenderungan kita. Sikap saling menghargai adalah asas kepada dialog yang sihat.
2 - Berlatih menjadi pendengar yang aktif
Dalam berdialog, kemahiran mendengar adalah kemahiran yang sangat penting. Dengarkan dengan penuh perhatian hujahan orang lain dan jangan memotong percakapan mereka.
3 - Mengelakkan prasangka
Cuba bercakap tanpa prasangka atau stereotaip. Biarkan orang lain berbicara untuk dirinya sendiri dan elakkan andaian berdasarkan latar belakang atau kumpulan yang diwakilinya.
4 - Menggunakan bahasa yang positif dan neutral
Elakkan bahasa yang bersifat menuduh atau menyerang. Gunakan bahasa yang neutral dan positif supaya setiap pihak merasa selesa dalam menyampaikan pendapatnya.
5 - Bersedia untuk berubah
Dialog yang baik bukan sahaja menuntut kita mempertahankan pendapat, tetapi juga perlu bersedia untuk mengubahnya jika setelah berdialog, didapati ada kebenaran yang lebih baik.
***USTAZ MOHAMMAD BAIHAQI MD YUSNAN merupakan Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.