KUALA LUMPUR - Seorang pengurus syarikat percetakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan menggunakan mesin cetak tanpa lesen dan menghasilkan penerbitan bahan lucah menggunakan mesin cetak, Jun lepas.
Chin Chiang Swee, 44, didakwa menggunakan mesin cetak tanpa lesen daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah syarikat percetakan di Desa Tun Razak, Cheras di sini pada 10 pagi, 21 Jun.
Iklan
Iklan
Pertuduhan mengikut Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau juga didakwa menghasilkan penerbitan bahan lucah dengan menggunakan mesin cetak di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 4(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang memperuntukkan hukuman serupa.
Pegawai Pendakwa daripada KDN, Muhamad Aliff Zahril Mohd Azhar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin manakala peguam, Adam Haikal yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.
Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 6 Januari 2025 untuk sebutan kes. - Bernama