BEVERLY Group secara rasminya bekerjasama dengan Parktech Solutions untuk memperkenalkan Sistem Tempat Letak Kereta Automatik (ACPS) tercanggih yang dibangunkan Samjung Tech dari Korea Selatan di Milla Residence, Quartz Wangsa Maju.
Bakal menjadi salah satu pemasangan ACPS terbesar di ASEAN, sistem ini akan memiliki 2,358 ruang letak kereta dan 21 lif kereta sekali gus meningkatkan kemudahan dan kemampanan untuk penduduk Milla Residence.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerjasama antara Beverly Group dan Samjung Tech dalam membangunkan ACPS di Milla Residence adalah satu langkah bermakna ke arah matlamat kelestarian Malaysia.
"Dalam kami memajukan pengurangan karbon dan pembangunan bandar mesra alam, inisiatif seperti ini menetapkan contoh inspirasi bagaimana teknologi boleh menyumbang kepada persekitaran hidup yang lebih hijau dan sihat.
"Saya memuji Beverly Group atas dedikasi mereka untuk mewujudkan ruang bandar mampan yang menyokong komitmen negara kita untuk masa depan yang lebih bersih dan bertanggungjawab,” katanya.
Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa bersama Pengarah Urusan Perbankan Komersial Maybank, Jason Wong menyaksikan majlis menandatangani perkongsian strategik itu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Beverly Group, Derick Lim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samjung Tech Co Ltd, Choi Jong Wan dan Pengarah Urusan Parktech Solutions Sdn Bhd, Yow Kai Yong yang diadakan di Galeri Jualan Milla Residence di sini pada Jumaat.
Sebagai sistem pertama seumpamanya di rantau ini, ACPS direka untuk merevolusikan pengalaman tempat letak kereta ‘urban’ dengan memperkemas operasi parkir dan mengurangkan pelepasan karbon, sejajar dengan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Indeks Bangunan Hijau (GBI) Malaysia.
Dengan mengurangkan masa dan perbelanjaan bahan api untuk pencarian parkir tradisional, sistem ini menawarkan penyelesaian mesra alam, meminimumkan pelepasan terbiar sehingga 30 peratus dan mengurangkan penggunaan tanah melalui reka bentuk vertikal.
Direka untuk keselesaan pengguna, teknologi ACPS membolehkan penduduk dan pelawat hanya meletak kenderaan di pintu masuk yang ditetapkan di aras tanah, mematikan enjin dan berjalan meninggalkan sistem automatik untuk mengendalikan penyimpanan serta pengambilan kenderaan.
Oleh itu, penduduk tidak perlu lagi untuk bersusah-payah mencari petak meletak kenderaan dan ia juga mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dengan meminimumkan interaksi manusia dalam kawasan tempat letak kereta.
Sementara itu, Jong Wan berkata, peranan mereka bukan sahaja menyediakan teknologi canggih, tetapi memastikan kejayaannya dari hari pertama hingga ke masa depan.
"Sistem kami untuk Milla Residence disesuaikan untuk mengimbangi kemodenan dengan kebolehpercayaan dan kami berdedikasi untuk setiap langkah proses.
"Kami menggandakan ujian untuk memastikan operasi awal yang sempurna bersama jurutera untuk memperhalusi prestasi. Pasukan kepuasan pelanggan kami yang berdedikasi di Malaysia akan setiap bulan menjalankan pemeriksaan proaktif dan memastikan segala-galanya berjalan lancar serta memberikan penduduk ketenangan fikiran sepenuhnya,” ujarnya.
Untuk menggalakkan kehidupan mesra alam, Beverly Group juga akan bekerjasama dengan Maybank dalam Pembiayaan Rumah Hijau untuk Milla Residence. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Milla Residence, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://milla.com.my.