KLUANG - [DIKEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 69.5, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Machap, pada pagi Jumaat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Abd Rahim Razali berkata, laporan kemalangan membabitkan lori treler 40 tan, kereta Honda Civic dan motosikal Yamaha MT09 diterima pada jam 7.43 pagi.
Menurutnya beliau, dua jentera membabitkan 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dan dibantu BBP Ayer Hitam dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Seorang lelaki berusia 33 tahun yang juga penunggang motosikal Yamaha MT09, disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sementara itu pemandu dan penumpang Honda Civic alami kecederaan. Pemandu kereta tersepit dan terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas manakala seorang lagi penumpang dihantar ke hospital oleh orang awam yang berada di lokasi," katanya.
Jelas beliau, operasi ditamatkan pada jam 9.11 pagi.
Sebelum itu, tular video dan gambar di lokasi kemalangan menyebabkan kesesakan teruk di lebuh raya.