KUALA TERENGGANU - Seorang remaja yang dilaporkan hilang di sebuah kedai makan dekat kawasan rekreasi Batu Buruk, di sini masih belum ditemui.
Menurut ibunya, Roslina Mat Yousop, 40, sehingga kini tiada perkembangan diterima berhubung keberadaan anaknya, Erma Fatima Shamsul Bahari, 17, selepas dilaporkan hilang sejak tiga minggu lalu.
Menurutnya, kehilangan anaknya pada 25 Oktober lalu berlaku kali ketiga selepas kali pertama hilang ketika mereka tinggal di Pulau Duyong di sini, pada Ramadan lalu.
"Erma pernah hilang kali kedua ketika berada di Masjid Abidin, di sini. Kali pertama dan kedua hilang tak lama sangat dalam seminggu sahaja.
"Kehilangan buat kali ketiga ini agak lama iaitu lebih tiga minggu. Selain melaporkan kepada pihak berkuasa, saya juga berusaha mencari mengikut kaedah perubatan tradisional.
"Malangnya, semua usaha menemui jalan buntu. Kalau lah benar dia diculik, saya harap dia segera dipulangkan ke pangkuan keluarga," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.
Roslina berkata, nalurinya mengatakan bahawa anak sulung daripada empat beradik yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) (lembam) masih hidup, namun mungkin berada dalam jagaan seseorang.
Jelasnya, dia dan suami, Shamsul Bahari Abu Bakar, 46, telah mencari di merata-rata tempat di Terengganu malangnya tidak menemuinya.
"Kami ada terima beberapa maklumat melalui komen di media sosial mengatakan ada bertemu Erma termasuk di negeri lain, namun ia tidak benar. Setakat ini Erma belum ditemui.
"Erma jenis mudah percaya kepada orang termasuk yang tidak dikenali menyebabkan dia beberapa kali hilang sebelum ini. Ketika dia hilang pada Oktober lalu, dia memakai tudung (jenama Adidas), baju dan seluar berwarna hitam," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi memberitahu pihaknya masih menyiasat perkara itu.
"Setakat ini tiada perkembangan lagi berkenaan kes tersebut dan siasatan mengenainya masih diteruskan," kata beliau.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang remaja berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas memberitahu mahu ke tandas di sebuah kedai makan.
Menurut ibu mangsa, kali terakhir dia bertemu anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, di sini ketika mereka sekeluarga makan di restoran tersebut sekitar jam 9 pagi pada 25 Oktober lalu.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan remaja ini diminta menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan atau menghubungi keluarga Erma Fatima di talian 014-9035176 (Roslina).