Polis tahan pemandu treler kes kemalangan maut 3 kenderaan

Iklan
Nik Mohd Azmi (kiri), Laporan Sinar Harian

KLUANG - Pemandu treler yang terbabit dalam nahas tiga kenderaan mengorbankan satu nyawa manakala dua lagi cedera parah di kilometer (KM) 69.5 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Machap kira-kira jam 7.30 pagi Jumaat sudah ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, lelaki tempatan berusia 40 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori treler membawa muatan kontena berisi baja dari kilang menuju ke Johor Bahru hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan serta kontena terbalik.

"Sebuah motosikal Jenis Yamaha jenis MT09 dan kereta Honda Civic dari arah selatan ke utara dipercayai melanggar bahagian belakang lori dan kontena berkenaan kerana tidak sempat mengelak," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, penunggang motosikal berusia 33 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala manakala, pemandu Honda Civic dan isterinya berusia 25 dan 26 tahun mengalami kecederaan di kepala, kaki serta badan namun anak lelaki mereka berusia setahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk mendapatkan rawatan.

Iklan

"Kesesakan lalu lintas dilaporkan berlaku dari arah menghala ke utara dan selatan akibat kemalangan ini.

"Polis dan PLUS telah mengambil tindakan membuka laluan kontra di arah selatan bagi kurangkan kesesakan lalu lintas dan proses mengalihkan kenderaan terlibat kemalangan termasuk kontena berisi baja," ujarnya.