24 pasukan bertarung buru Trofi NJ Ryan

Iklan
Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s 2020 mendapat sokongan dan tajaan daripada pelbagai syarikat korporat pada edisi ke-10 tahun ini.

Edisi ke-10 Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Premier the Malay College Kuala Kangsar (MCKK) bakal kembali dengan menyaksikan 24 pasukan ragbi sekolah menengah utama dari dalam dan luar negara bertarung untuk merebut piala berprestij yang dikenali sebagai Trofi NJ Ryan.

Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s kali ini yang dijadual berlangsung di Kuala Kangsar, Perak dari 28 Februari hingga 1 Mac depan menampilkan 21 pasukan ragbi tempatan - mewakili semua negeri-negeri di Malaysia dan tiga pasukan luar.

Iklan
Iklan

Penglibatan tiga pasukan berkenaan iaitu Kolej Vajiravudh dari Thailand; Sekolah Antarabangsa Jerudong (Brunei) dan Sekolah Menengah Atas Darunnajah (Indonesia) sudah pasti menambah kemeriahan kejohanan tahun ini di samping memberi saingan kompetitif kepada 21 pasukan tempatan.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya turut memuji penganjuran Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s yang kini dikenali sebagai antara pertandingan terbaik yang telah berjaya di dalam mencari mencungkil bakat-bakat baru sukan ragbi negara.

Iklan

"Sudah pasti edisi yang ke-10 ini sangat istimewa, tambahan pula dengan kehadiran pasukan serantau yang pasti akan memeriahkan suasana pada hari kejohanan.

"Saya yakin setiap pasukan akan lebih berkobar-kobar untuk muncul juara pada tahun ini. Pertandingan seperti ini telah membantu melahirkan ramai pemain ragbi, sekali gus menambah kelompok pemain untuk skuad pembangunan ragbi negara," katanya.

Iklan

Presiden Persatuan Murid-Murid Tua The Malay College Kuala Kangsar (MCOBA), Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Adnan pula amat teruja dengan penganjuran Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s kali ini.

"Terbukti bahawa kejohanan ragbi MCKK ini mampu menarik minat pasukan-pasukan dari luar negara kerana pada tahun ini peningkatan penyertaan pasukan luar negara amat memberangsangkan dan bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

"Ini membuktikan sukan ragbi di negara ini semakin bergerak ke hadapan dan tentulah kita mengharapkan sukan ini terus berkembang serta membanggakan negara pada masa akan datang," ujarnya.