Helah sorok pukat tunda dalam stor

Iklan
Set pukat tunda yang dirampas di dalam sebuah stor di Jeti Bagan Sungai Kajang di sini pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Helah pemilik bot zon A menyorok set pukat tunda dalam stor akhirnya terbongkar dalam serbuan Jabatan Perikanan Selangor di Jeti Bagan Sungai Kajang, Tanjong Karang di sini pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dijalankan hasil maklumat risikan dan aduan awam mengenai kegiatan bot zon A menggunakan pukat tunda untuk menangkap ikan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati pemilik menyorokkan pukat tunda bersaiz kecil di dalam stor bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kita dapati pemilik menyorok pukat di dalam sebuah stor berkunci, namun setelah dibuka kita dapati terdapat peralatan termasuk papan tunda dan jaring di dalamnya," katanya ketika ditemui semasa operasi khas itu pada Jumaat.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti pemilik pukat dan bot zon A yang digunakan.

Sebahagian barangan dirampas dibawa ke Pusat Tahanan Vessel Kuala Selangor untuk siasatan lanjut pada Jumaat.

Beliau memberitahu, dalam serbuan sama, pihaknya turut menyita sebuah bot zon A dan set pukat tunda.

Iklan

Katanya, hasil semakan mendapati pemilik dipercayai membuang set papan pukat tunda bersebelahan bot selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Semakan lanjut mendapati, papan tunda itu sengaja dibuang bagi mengelakkan bot terbabit disita.

"Setelah siasatan dijalankan, kita dapati bot zon A yang disita ini menjalankan aktiviti melanggar dan menyalahi undang-undang serta beroperasi tanpa lesen," tambah beliau.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah menyita semua barangan rampasan bernilai RM24,000 untuk dibawa ke Pusat Tahanan Vessel Kuala Selangor untuk siasatan di bawah Seksyen 8(a) dan 8(c) Akta Perikanan 1985.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Jabatan Perikanan Selangor menyita lima bot zon A dan peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda bernilai RM100,000 di Jeti Bagan Sungai Burung, Sungai Besar.