KPKT sebagai kementerian berprestasi cemerlang rangkul empat anugerah

Iklan
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengadakan sidang media mengenai kejayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengungguli Anugerah Pembangunan Negara 2024 yang diadakan pada Jumaat. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangkul empat anugerah termasuk Anugerah Pembangunan Negara (APN) Tahun 2024 baru-baru ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, buat julung kalinya APN dianugerahkan kepada kementerian yang berjaya mencapai prestasi paling cemerlang dalam tiga aspek iaitu pelaksanaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) pengurusan program dan projek pembangunan serta penilaian outcome.

Iklan
Iklan
Kor Ming

"Saya berasa amat berbesar hati kerana KPKT adalah kementerian yang pertama menerima anugerah ini," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Ujarnya, dalam majlis yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar Isnin lalu, KPKT turut dianugerahkan Tempat Pertama Anugerah Pengurusan IBS Terbaik Peruntukan atas RM1 bilion.

Iklan

"Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada kementerian terbaik yang mematuhi pelaksanaan projek kerajaan menggunakan kaedah IBS iaitu dengan minimum skor 70.

"KPKT telah berjaya melaksanakan 92 projek berkategori Fizikal Pembinaan – Bangunan Bahru yang terlibat kepada pelaksanaan IBS," katanya

Iklan

Jelas Kor Ming, ia antaranya terdiri daripada pembinaan baharu Program Residensi Rakyat, balai bomba dan penyelamat, pasar baharu, terminal bas dan lain-lain jenis pembangunan yang berkaitan.

"Agensi terlibat iaitu daripada Bahagian Perancangan Perumahan (BR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dengan dibantu oleh Agensi Pelaksana daripada Bahagian Pelaksanaan Dan Perkhidmatan Kejuruteraan (BPJ), JKR Malaysia serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya.

Di samping itu juga, beliau berkata, peratus pemarkahan yang menyumbang kepada kemenangan ini adalah menerusi sesi penilaian di tapak oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada 10 September lalu.

"Projek Perumahan Transit Penjawat Awam Pengerang, Kota Tinggi, Johor telah dipilih mewakili kementerian bagi tujuan sesi penilaian ini dan inisiatif dan pencapaian projek yang amat membanggakan," katanya.

Menurut beliau, KPKT turut menerima tempat pertama Anugerah Penilaian Outcome Kementerian Berprestasi Tinggi.

"Anugerah ini pengiktirafan kepada kementerian dan agensi yang telah menunjukkan prestasi tinggi dalam penilaian outcome program atau projek yang telah disiapkan berdasarkan peruntukan yang telah diluluskan," katanya.

Tambah beliau, penilaian outcome adalah satu kaedah untuk menentukan sama ada sesuatu program atau projek yang telah siap, mencapai objektif disasarkan dengan mengukur keberhasilannya.

"Ini membuktikan bahawa keberkesanan program dan projek KPKT dalam memberi manfaat kepada golongan sasar dan rakyat," katanya.

Kor Ming memaklumkan, KPKT memperoleh 93.8 peratus markah keseluruhan bagi kajian penilaian outcome lima projek.

Ia meliputi Program Perumahan Rakyat Taman Perling, Johor Bahru, Johor; Pangsapuri Kelisa Ria, Kajang, Selangor; Pembangunan Taman Botani Kuching, Sarawak; Balai Bomba Dan Kuarters, Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan dan pembinaan semula medan selera di Jalan Kerja Ayer Lama, Ampang, Selangor.

Sementara itu, Anugerah Khas Penilaian Outcome Pencapaian Konsisten turut berikan kepada KPKT kerana berjaya mengekalkan prestasi tinggi melebihi 90 peratus bagi tempoh tiga tahun berturut-turut sejak 2021.

"Pada tahun 2021, markah pencapaian adalah 93.2 peratus disusuli 93.5 peratus dan 93.8 peratus masing-masing bagi tahun berikutnya," katanya.

Ujar Kor Ming, bagi menghargai sumbangan warga kementerian, beliau menyumbang sebulan gaji menteri ke dalam Tabung Kebajikan KPKT.

"Saya amat berbangga kerana kejayaan-kejayaan yang telah diraih sepanjang tahun ini juga adalah hasil kerja keras seluruh warga KPKT yang amat tekun bekerja, berbakti dan berjasa.

"Semoga semua warga kementerian dapat meneruskan usaha murni ini, dan mengharumkan nama negara bagi meningkatkan darjat dan martabat rakyat serta negara di peringkat yang lebih tinggi," jelasnya.