Belanjawan Selangor 2025: RM3 bilion perbelanjaan mengurus, pembangunan

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menganggarkan perbelanjaan sebanyak RM3 bilion bagi Belanjawan 2025 merangkumi RM1.7 bilion perbelanjaan mengurus dan RM1.3 bilion perbelanjaan pembangunan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, belanja pembangunan menyaksikan peningkatan sebanyak RM100 juta atau 8.3 peratus berbanding Belanjawan 2024 dengan fokus utama terhadap sektor infrastruktur berbanding sektor sosial.

Iklan
Iklan

"Kenaikan peruntukan sektor infrastruktur merangkumi 31.09 peratus daripada peruntukan pembangunan dengan nilai RM404.17 juta.

"Ia memfokuskan kepada kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bagi menyokong keterjaminan bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal yang lebih efisien, naik taraf infrastruktur jalan raya dan saliran.

Iklan

"Sebahagian lagi bagi promosi Tahun Melawat Selangor 2025 serta persediaan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Tahun 2026," katanya menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2025 pada Jumaat.

Katanya, walaupun sektor sosial bukan lagi menjadi sektor tumpuan utama bagi 2025 namun peruntukan pembangunan sosial berjumlah RM354.08 juta masih kekal sebagai antara agenda pembangunan utama negeri.

Iklan

"Selain itu, kerajaan negeri komited dalam membantu meningkatkan ekonomi rakyat dengan menyasarkan untuk terus memacu bidang keusahawanan.

"Ia termasuk meningkatkan kemudahan bagi penjaja dan peniaga kecil dengan kerjasama serta penglibatan secara menyeluruh oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan memperuntukkan sebanyak RM380.7 juta bagi pembangunan sektor ekonomi," katanya.

Katanya, peruntukan selebihnya memfokuskan kepada bidang tumpuan utama yang meliputi sektor pendidikan RM96.4 juta, kesihatan RM40 juta dan RM24.5 juta bagi pembangunan luar bandar.

Sementara itu katanya, anggaran perbelanjaan mengurus merangkumi perbelanjaan emolumen berjumlah RM613 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM657 juta) dan penerimaan daripada aset berjumlah (RM17 juta).

Selain itu katanya, pemberian dan bayaran tetap berjumlah RM392 juta serta RM18 juta untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain.

"Perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan (Objek Am 20000) merupakan komponen terbesar mencakupi 38.7 peratus daripada perbelanjaan mengurus.

"Jumlah ini termasuk antaranya pelarasan kenaikan skim gaji penjawat awam, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan melibatkan 26 jabatan.

"Turut termasuk elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), peruntukan bagi Elaun Jawatankuasa dan petugas masjid serta sewaan bangunan ibu pejabat dan sembilan Mahkamah Rendah Syariah," katanya.

Belanjawan 2025 bertemakan Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani, Belanjawan 2025 menumpukan lima iaitu Kecerdasan Buatan dan Pendidikan Pemangkin Kemajuan Ekonomi Negeri.

Teras seterusnya Mendukung Hasrat Alam Sekitar Mampan dan Infrastruktur Berkualiti; Memupuk Negeri Penyayang; Menjuarai Tadbir Urus Cekap dan Wibawa; Membugar Ekonomi Kebudayaan Dan Pembangunan Generasi Muda.