BUKAN sekadar konsert, festival muzik Nyalafest 2024 bakal menggabungkan lapan artis terkenal dari dua negara, Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 30 November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RF3 Entertainment, Muhammad Nashreen Syazwan Nazeri berkata, pihaknya bangga dapat bersama meraikan acara festival muzik yang membariskan barisan artis yang terbaik dari Malaysia dan Indonesia.
"Pasukan kreatif bertungkus lumus mendapatkan barisan artis yang terdiri daripada nama hebat dalam industri muzik Indonesia dan Malaysia. Selain itu, lagu nyanyian artis ini juga menduduki carta muzik teratas dan mendapat tempat di hati peminat.
"Setiap artis sedang giat membuat persiapan untuk memastikan persembahan paling hebat untuk menghiburkan pengunjung.
"Bagaimanapun, senarai lagu disampaikan artis akan dirahsiakan sehingga hari persembahan,” katanya mengenai festival anjuran RF3 Entertainment dengan kerjasama Wolfstrike Brothers bersama Neptunes Presents itu.
Noh Salleh X Restoe Iboe akan menjadi artis Malaysia yang membuat persembahan, manakala penyanyi dari Indoensia ialah Bernadya, Feby Putri, Pamungkas, Diskoria, Romantic Echoes, Bilal Indrajaya dan Fugo.
Berkongsi pemilihan Noh Salleh sebagai artis jemputan, Muhammad Nashreen Syazwan berkata, Noh sudah beberapa kali bekerjasama dengan penganjur dan persembahannya sering mendapat sambutan peminat.
"Persembahan Noh yang diiringi Restoe Iboe pasti memberi kejutan. Ini kerana Noh sering kali tampil solo, tetapi kali ini, bakal beraksi bersama band, sekali gus memperlihatkan persembahan berbeza,” katanya.
Tiket acara ini boleh didapati menerusi laman web myticketempire. Pembelian tiket secara ansuran juga ditawarkan melalui Atome.