Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

Iklan
Rumah berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 direkodkan menjadi komponen hartanah paling banyak tidak terjual di negara ini pada suku ketiga 2024. Gambar kecil: ABDUL RAZAK

SHAH ALAM - Rumah berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 direkodkan menjadi komponen hartanah paling banyak tidak terjual di negara ini pada suku ketiga 2024.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kediaman yang tidak terjual itu mewakili 31.9 peratus komponen hartanah meliputi 7,003 unit bernilai RM2.78 bilion.

Iklan
Iklan

Ia diikuti kediaman berharga RM500,000 hingga RM1 juta yang mencatatkan sebanyak 6,462 unit tidak terjual bernilai RM4.3 bilion atau mewakili 29.4 peratus manakala kediaman di bawah RM300,000 merekodkan angka tidak terjual sebanyak 5,999 unit (27.3 peratus) atau RM1.32 bilion.

Hartanah melebihi RM1 juta pula merekodkan sebanyak 2,504 unit (11.4 peratus) tidak terjual yang bernilai RM5.45 bilion daripada jumlah keseluruhan perumahan tidak terjual sebanyak 21,968 unit bernilai RM13.85 bilion yang dicatatkan pada suku dikaji.

Iklan

Agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berkenaan turut mendedahkan kediaman jenis bertingkat menjadi komponen paling banyak tidak terjual iaitu sebanyak 61.2 peratus atau 13,455 unit diikuti hartanah jenis teres sebanyak 5,187 unit (23.6 peratus) dan lain-lain 3,326 unit (15.1 peratus).

Kediaman berusia lima hingga 10 tahun turut menjadi hartanah tidak terjual paling banyak berjumlah 10,774 unit diikuti kediaman di bawah tiga tahun dengan 5,498 unit; kediaman berusia tiga hingga lima tahun (4,726 unit) dan kediaman melebihi 10 tahun (970 unit).

Iklan

Untuk kategori hartanah sedang dibangunkan tidak terjual, rumah berharga di bawah RM300,000 paling banyak tidak terjual iaitu masing-masing 11,562 unit dan 10,864 unit untuk jenis teres dan bertingkat.

Bagi kediaman belum dimajukan, unit berharga di bawah RM300,000 kekal menjadi komponen paling banyak tidak terjual dengan 2,181 unit (teres) dan 1,704 unit (bertingkat).

Mengikut negeri pula, Kuala Lumpur mencatatkan kediaman paling banyak tidak terjual iaitu sebanyak 3,273 unit, Perak (3,039 unit) dan Johor (3,030).

Bagaimanapun, NAPIC memaklumkan keseluruhannya kediaman siap dibina tidak terjual memperlihatkan penurunan kepada 21,968 unit bernilai RM13.85 bilion pada suku ketiga 2024, berbanding 22,642 unit bernilai RM14.24 bilion yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak berkata, prestasi pasaran hartanah suku ketiga 2024 terus mengukuh secara keseluruhannya.

"Prestasi pasaran hartanah yang kukuh pada suku ketiga 2024 ini didorong oleh pertumbuhan positif bilangan transaksi hartanah di semua subsektor dan prestasi memberangsangkan status pasaran harta tanah.

"Sokongan berterusan kerajaan dan pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia menyumbang impak yang signifikan prestasi aktiviti pasaran hartanah suku ketiga 2024,” katanya ketika membentangkan prestasi pasaran hartanah suku ketiga 2024 menerusi platform Facebook rasmi JPPH pada Jumaat.

Katanya, pada suku dikaji bilangan dan nilai transaksi masing-masing berkembang 3.1 peratus dan 0.3 peratus, menokok kepada 112,305 transaksi bernilai RM57.31 bilion berbanding 108,933 transaksi bernilai RM57.14 bilion pada suku ketiga 2023.