KOTA BHARU - Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemui oleh dua pemancing dalam sungai Kampung Gaung Pendek di sini pada jam 9 pagi Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong, Pegawai Bomba Tinggi II, Zainal Fitri Husain, berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 10 pagi daripada salah seorang pemancing yang memaklumkan penemuan mayat terbabit.
"Mereka pada asalnya menaiki bot ke kawasan itu untuk memeriksa batang pancing yang dipacakkan di sungai terbabit.
"Apabila sampai, mereka terkejut apabila melihat mayat wanita dalam keadaan terapung dan tersangkut pada pancing sebelum bertindak menghubungi pihak bomba,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, pihak bomba yang tiba di lokasi penemuan mayat terbabit kemudiannya menaikkan jasad bersama pihak polis.
"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.