MANILA - Taufan Usagi dilaporkan semakin lemah dan menuju ke Taiwan pada Jumaat selepas ia melanda bandar utara Filipina.
Usagi yang membawa angin kencang sehingga lebih 150 kilometer sejam membadai bandar Banggao di wilayah Cagayan hingga memaksa pemindahan berskala besar di 10 perkampungan pada Khamis.
Usagi yang digelar Ofel oleh penduduk tempatan merupakan siklon ke-15 yang membinasakan negara itu pada tahun ini.
Agensi Meteorologi Filipina (PAGASA) memaklumkan Manila kini diancam satu lagi taufan yang diramalkan membadai bandar timur dan wilayah ibu kota pada akhir minggu ini setelah ia semakin mengganas di barat Pasifik.
"Man-yi (Pepito) berpotensi menjadi taufan ganas pada awal pagi Ahad," ujarnya.
Difahamkan, Filipina berdepan ribut keenam dalam tempoh sebulan dan sebahagian besar daripadanya melanda Pulau Luzon.
Data rasmi pemerintah menunjukkan Ribut Tropika Kristine (Trami) dan Leon (Kong-rey) yang membawa banjir teruk dan mencetuskan kejadian tanah runtuh telah meragut 162 nyawa di Filipina.
Selain itu, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memaklumkan sebanyak empat ribut dikesan di barat Pasifik secara serentak pada bulan ini dan ia merupakan kejadian pertama sejak rekod bermula pada 1951. - Agensi