KUANTAN - Proses pendaftaran mangsa bencana kini lebih efisien selepas pelancaran aplikasi My Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (MyIBJKM) pada Ogos lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, aplikasi ini direka bagi mempercepatkan dan mempermudah pengurusan bencana, termasuk proses pendaftaran serta penyelarasan pusat pemindahan sementara (PPS) yang sebelum ini dilakukan secara manual.
"Melalui aplikasi ini, mangsa hanya perlu mengisi maklumat mereka terlebih dahulu dan menghasilkan kod QR.
"Jadi, apabila tiba di PPS, mereka hanya perlu mengimbas kod tersebut, tanpa perlu mengisi borang secara manual seperti sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Depot Simpanan Bencana Banjir Pahang di Kampung Tiram di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad.
Noraini berkata, aplikasi ini turut memudahkan pengguna mengetahui PPS yang masih mempunyai kekosongan sebelum mereka berpindah.
Jelasnya, ia dapat menjimatkan masa dan tenaga dengan memilih PPS yang tersedia terus melalui aplikasi ini.
"Jadi, kejadian di mana PPS terlalu padat sebagaimana sebelum ini tidak akan berlaku dengan adanya aplikasi ini," katanya lagi.
Tambah beliau, penggunaan aplikasi ini bukan sahaja memudahkan mangsa, sebaliknya membantu pihak berkuasa menyusun data dengan lebih teratur untuk tujuan penyelarasan bantuan.
"Pengumpulan data kini lebih cepat dan tepat, membolehkan bantuan disalurkan kepada mangsa lebih cepat sama ada semasa atau selepas bencana,” jelas beliau.