Empat pelajar universiti ditahan disyaki edar ganja

Iklan
Polis merampas ketulan mampat ganja dan menyita sebuah kereta dan wang tunai selepas menahan empat suspek yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Seri Iskandar pada Khamis. Foto ihsan polis

PARIT - Empat pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT) ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja dalam serbuan sebuah rumah di Seri Iskandar di sini pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah sekitar jam 1.40 petang itu berjaya menemui dadah seberat 1.92 kilogram (kg).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kesemua pelajar termasuk dua wanita yang berusia 20 hingga 22 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan menjumpai sebungkus plastik mengandungi dua ketulan mampat dadah disyaki ganja seberat 0.86kg dan 1.03kg serta dua peket plastik berisi ganja seberat 0.018kg dianggarkan bernilai RM2,500.

Iklan

"Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita wang tunai RM400, sebuah kereta jenis Mercedes Benz C200 dan seutas rantai emas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Zulkafli berkata, kesemua suspek direman untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Iklan