RUU Mufti Wilayah Persekutuan: HIKAM gesa perbincangan konstruktif, damai

Iklan
Pembentangan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan perlu dilakukan secara tertutup bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

SHAH ALAM - Pembentangan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan perlu dilakukan secara tertutup bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) dalam satu kenyataan berkata, perdebatan awam yang tidak terkawal dalam hal-hal kepercayaan Islam boleh mengakibatkan sikap fanatik, menyempitkan pemikiran dan menghalang kemajuan ummah.

Iklan
Iklan

"Isu utama yang mencetuskan perbahasan hangat adalah perkara berkaitan perbezaan aliran akidah yang kompleks dan sensitif wajar ditangani dengan penuh hikmah demi menjaga kesatuan ummah.

"Pertelingkahan terbuka juga menimbulkan kesangsian dan persepsi negatif masyarakat bukan Islam terhadap agama rahmah kita.

Iklan

"Oleh itu, kami menyeru agar isu sebegini dibincangkan secara ilmiah dan tertib dalam platform tertutup yang melibatkan para ulama, pakar akidah daripada pelbagai aliran dan juga pakar lain yang berkaitan," katanya pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, dengan pendekatan tersebut ia diharapkan jalan penyelesaian yang harmoni dan berkesan dapat dicapai demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

Iklan

Katanya, ketika sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, HIKAM mengajak umat Islam daripada setiap lapisan masyarakat untuk menahan diri daripada perdebatan yang tidak produktif dan boleh memecah-belahkan masyarakat.

"Sebaliknya, marilah kita menyatukan tenaga dan memperkukuhkan saf dalam usaha ke arah membina Malaysia yang lebih makmur, bersatu padu dan sejahtera, serta menyebarkan risalah Islam kepada seluruh masyarakat.

"Semoga ALLAH SWT merahmati dan memandu kita semua ke arah perpaduan yang utuh, membawa kebaikan dan keharmonian kepada umat Islam di Malaysia," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, bacaan pertama RUU Mufti (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 19/2024 telah dilakukan pada 3 Julai lalu.

Susulan daripada itu, ada pihak yang mendakwa bahawa RUU Mufti WP 2024 akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam dalam sekelip mata, melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan merupakan serangan secara langsung terhadap sistem sekular di negara ini.

Bagaimanapun, ia tidak tepat dan mengelirukan kerana RUU Mufti WP hanya terpakai untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan sahaja di mana pemakaiannya tidak boleh melangkaui ke negeri lain dalam Malaysia.

RUU ini juga didakwa bertujuan untuk memperluas kuasa mufti di Wilayah Persekutuan, mengenepikan sistem raja berperlembagaan, kerajaan Madani dan demokrasi berparlimen sekular yang menjadi asas Malaysia.

Terdapat pihak yang mengatakan RUU Mufti WP yang dicadangkan itu bakal memberikan kuasa tanpa batasan kepada pihak berkuasa agama kerana antara lain akan memberikan mereka kekebalan undang-undang.