KOTA KINABALU - Beberapa isu dan cabaran perlu diberi perhatian supaya Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun dapat dirasai secara inklusif, khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, antara isu yang perlu diberi perhatian termasuklah jurang infrastruktur terutama di kawasannya sendiri.
"Daripada jumlah peruntukan RM1.346 bilion kepada Kementerian Kerja Raya, kawasan luar bandar seperti Segama memerlukan perhatian segera untuk pembinaan dan pembaikan jalan raya yang strategik, di mana jalan utama di Segama sering rosak menyebabkan gangguan kepada aktiviti ekonomi dan sosial penduduk.
"Masalah bekalan air bersih yang berterusan di Segama juga memerlukan penyelesaian walaupun kerajaan memperuntukkan RM610.85 juta untuk sektor infrastruktur asas, pemantauan pelaksanaan projek secara khusus untuk kawasan di bawah DUN Segama belum memuaskan bagi tahun 2025," katanya bagi mengulas pembentangan belanjawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Jumaat.
Bekas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata, Segama memerlukan peruntukan khas untuk pembaikan jalan luar bandar yang sering menjadi penghalang kepada aktiviti ekonomi.
"Saya mencadangkan agar perhatian ini dapat diambil tindakan untuk menyelesaikan isu infrastruktur jalan raya seperti di Ulu Segama, Kampung Tawaiyari, Kampung Sepadulang, jalan raya di Kampung Jawa dan Kampung Betik," katanya.
Katanya, beliau menyambut baik belanjawan yang dibentangkan itu dan menekankan agar perhatian khusus diberikan kepada kawasannya yang sering terpinggir dalam pelaksanaan projek pembangunan.
"Saya berharap peruntukan besar ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, dengan pemantauan ketat dan penyampaian yang telus.
"Saya akan membantu pihak kerajaan untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat Segama dan memastikan suara mereka didengar," katanya.