SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet berpandangan Belanjawan Selangor 2025 membabitkan anggaran perbelanjaan RM3 bilion mencerminkan kesungguhan Selangor untuk terus kekal menjadi peneraju ekonomi dan pembangunan mampan negara.
Altimet berkata, beliau menyambut baik langkah kerajaan negeri memperkenalkan Kertas Putih Kecerdasan Buatan (AI) yang membuktikan keprihatinan Selangor terhadap potensi teknologi AI sebagai pemangkin kemajuan perkhidmatan awam dan pengurusan negeri lebih cekap.
Menurutnya, pendekatan itu bagi menyesuaikan teknologi baharu dengan keperluan rakyat seterusnya menjadikan Selangor sebagai negeri progresif dan berpandangan jauh.
"Dalam pada itu, penting untuk kita mengimbangi antara manfaat dan risiko yang dibawa oleh teknologi AI.
"Langkah kerajaan untuk menilai impak AI terhadap pekerjaan, kesenjangan pendapatan, dan pendidikan amat penting untuk memastikan masyarakat dilindungi daripada kesan negatif automasi," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, pendekatan itu mampu mengelakkan berlakunya ketidakseimbangan ekonomi yang boleh menjejaskan keadilan sosial.
Ujarnya, pengalaman sebelum ini dengan perkembangan media sosial memberikan pengajaran berguna.
"Teknologi yang pada awalnya memudahkan komunikasi kini mencetuskan isu seperti ketagihan, keresahan sosial dan monopoli teknologi.
"Dalam konteks AI, perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan pengawalan terhadap penyalahgunaan seperti 'deepfakes' adalah keutamaan yang perlu diberikan perhatian.
"Prinsip seperti keadilan, akauntabiliti dan ketelusan yang menjadi teras kepada pembangunan Kertas Putih ini adalah langkah proaktif yang amat diperlukan," kata beliau.
Jelasnya, ia bukan sahaja memastikan teknologi digunakan dengan bertanggungjawab, tetapi juga meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap integriti sistem yang bergantung kepada AI.
Justeru katanya, penyelidikan menyeluruh dijalankan oleh Selangor Research Institute dapat memastikan pendekatan itu berasaskan fakta dan kajian.
"Kertas Putih AI ini menunjukkan kesediaan Selangor untuk memimpin dalam tadbir urus teknologi yang inovatif dan bertanggungjawab.
"Ia bukan sahaja melindungi masyarakat daripada risiko, tetapi juga membuka peluang untuk pembangunan mampan yang membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat," tambah beliau.
Pada masa sama beliau berpandangan, kerajaan mempunyai visi masa depan yang jelas menerusi projek Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu dengan teknologi Waste-to-Energy (WTE).
Ini kerana kedua-dua projek itu mewujudkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan dan 500 peluang pekerjaan kepada tenaga kerja mahir dan separa mahir tempatan setelah siap dibina.
Selain itu katanya, teknologi WTE yang diperkenalkan dijangka mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 30 peratus berbanding kaedah pelupusan tradisional di tapak pelupusan sampah.
"Projek WTE di Selangor ini juga berpotensi menghasilkan sehingga 50 megawatt (MW) tenaga elektrik untuk disalurkan ke grid nasional, menyokong agenda negara dalam mempertingkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui.
"Projek WTE di Selangor ini diharapkan menjadi model untuk negeri-negeri lain dalam mengadaptasi teknologi hijau dalam pengurusan sisa pepejal, sekali gus menyokong matlamat negara ke arah karbon sifar bersih menjelang tahun 2050," katanya.
Sementara itu katanya, belanjawan dibentangkan menyaksikan kenaikan peruntukan infrastruktur sebanyak 31.09 peratus atau RM404.17 juta.
Katanya, walaupun fokus kepada infrastruktur meningkat, sektor sosial tetap mendapat perhatian dengan peruntukan sebanyak RM354.08 juta bagi memastikan agenda pembangunan sosial terus relevan.
Justeru katanya, sebagai wakil rakyat Lembah Jaya, beliau berpegang teguh kepada aspirasi belanjawan dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
"Saya akan memastikan penduduk Lembah Jaya mendapat manfaat langsung daripada pembangunan yang dirancang, termasuk akses kepada infrastruktur lebih baik, peningkatan kualiti hidup, dan peluang ekonomi lebih luas.
"Dengan sokongan rakyat dan kerjasama semua pihak, kita dapat merealisasikan visi Selangor Dinamik yang progresif dan inklusif," katanya.