Tragedi kepala air: Mangsa lemas dikenal pasti jurutera daerah, dua kakitangan JKR

Iklan
Jenazah ketiga-tiga mangsa tragedi kepala air tiba di Unit Forensik, Hospital Kampar untuk dibedah siasat. Gambar kecil dari kiri: Suhaili Mat Saad, Mohamad Khairul Hakim Hamidi, Muhammad Ikram Abdul Bari

KAMPAR - Identiti tiga individu meninggal dunia dipercayai lemas akibat dihanyutkan kepala air ketika menjalani aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang dekat Gopeng pada Jumaat, merupakan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Identiti wanita lemas dikenal pasti sebagai Suhaili Mat Saad, 47, merupakan Jurutera Daerah JKR Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang manakala Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, masing-masing daripada JKR Langkawi, Kedah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, maklumat awal kejadian bot dinaiki mangsa terbalik pada jam 5.50 petang.

Menurut beliau, seramai 21 penumpang termasuk lima jurupandu dan seorang jurugambar telah berlepas untuk menjalani aktiviti merakit arus deras.

Iklan
Jenazah salah seorang mangsa tiba di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kampar untuk dibedah siasat.

"Kesemua mereka merupakan pengunjung telah menginap di salah satu resort untuk program pengukuhan kerja berpasukan melibatkan tujuh peserta daripada JKR Langkawi dan 14 peserta dari JKR Seberang Perai.

"Siasatan mendapati keadaan sungai awalnya masih sesuai untuk menjalani aktiviti tersebut.

Iklan

"Bagaimanapun air telah mula nampak keruh dan naik mendadak sekitar 500 meter dari tempat perlepasan.

"Salah satu bot yang terakhir didapati telah terbalik dan tujuh mangsa hanyut lebih kurang 800 meter dari tempat bot terbalik sebelum tiga mangsa disahkan meninggal dunia," katanya di sini.

Mohamad Nazri berkata, peserta lain termasuk jurupandu dan jurugambar didapati selamat.

"Kesemua mayat telah dicamkan oleh rakan mangsa dan dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat.

"Kesemua peserta yang akan terlibat diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan," katanya.