KAMPAR - Semua aktiviti riadah dan sukan air termasuk rakit arus deras di daerah Kampar dihentikan berkuat kuasa serta-merta sehingga arahan lanjut dari pihak berkuasa.
Pegawai Daerah Kampar, Nazrul Fazami Mohamad berkata, keputusan itu dibuat susulan daripada kejadian kepala air di laluan Sungai Kampar dan Sungai Jahang sehingga meragut tiga kematian.
"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kampar telah memutuskan semua aktiviti riadah dan sukan air 'outdoor' dihentikan buat sementara waktu sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
"Antara aktiviti yang terlibat adalah 'water rafting' dan 'water tubing' serta sebarang aktiviti melibatkan kawasan sungai di Daerah Kampar," katanya menerusi surat rasmi yang dikeluarkan kepada pengusaha resort dan tapak perkhemahan pada Jumaat.
Terdahulu, tiga pegawai dan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) termasuk seorang wanita maut selepas terlibat dalam aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang dekat Gopeng.
Kesemua mangsa yang merupakan peserta program pengukuhan kerja berpasukan (team building) dipercayai terjatuh selepas bot dinaiki mereka terbalik akibat kepala air dan lemas dibawa arus deras.