KUANTAN - Kerajaan Pahang berjaya mencipta hatrik jumlah kutipan hasil melebihi RM1 bilion sehingga semalam dengan kutipan hasil terkini berjumlah RM1.06 bilion.
Kejayaan buat kali ketiga berturut- turut ini sejak 2022 membuktikan prestasi Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sangat cemerlang untuk setanding dengan negeri-negeri maju lain seperti Selangor dan Johor.
Malah kutipan hasil ini juga akan dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk program kebajikan termasuk pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada pelbagai pihak termasuk pelajar, pelajar tahfiz, nelayan, petani, mahasiswa, anak yatim, ibu tunggal, jemaah haji dan mualaf.
Menerusi kutipan hasil ini juga membolehkan Kerajaan Pahang menyediakan rumah percuma kepada golongan yang memerlukan menerusi program Rumah Rakyat Pahang (RRP) dan sehingga kini sebanyak 1,029 buah rumah RRP telah diluluskan dengan 781 telah siap dibina.
Menurut Wan Rosdy, pencapaian kutipan hasil ini mengambil kira kepentingan rakyat dengan tidak membebankan mereka selain berjaya mengurangkan ketirisan dalam menguruskan perbelanjaan.
"Kita telah pun mendapat sasaran melebihi RM1 bilion untuk tiga tahun berturut-turut dan dan sepertimana yang saya janjikan, kita akan bagi balik kepada rakyat dalam bentuk Bantuan Prihatin Pahang daripada yang baru lahir sampai warga emas.
"Kita juga akan meneruskan pemberian bantuan kepada mereka yang memulakan persekolahan, warga emas semuanya kita akan bantu dan pelajar di universiti kita bagi RM400 secara one-off setiap tahun.
Sebelum ini Pahang berjaya mencatat negeri kedua daripada empat negeri terbaik prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahap 5.2 peratus, mengatasi KDNK Nasional iaitu 3.6 peratus pada tahun lalu.
Sementara itu, beliau yang juga merupakan Naib Presiden UMNO Malaysia berkata, kemampuan ini memberi kelebihan kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk menyediakan pelbagai bentuk inisiatif kepada rakyat termasuklah akses pendidikan berkualiti disebabkan oleh kedudukan kewangan negeri yang kukuh.
"Terima kasih kepada semua terutamanya penjawat awam, barisan kepimpinan kerajaan dan semua rakyat yang sentiasa memberi sokongan dalam terus menaikkan nama baik Pahang.
"Kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa usaha dan kesepaduan berterusan semua pihak untuk sama-sama merealisasikan sasaran tersebut,” katanya.