KAMPAR - Seorang lelaki tidak menyangka panggilan telefon bertanyakan khabar keluarga selepas lebih dua bulan tidak berjumpa merupakan perbualan terakhir sebelum adiknya ditemui meninggal dunia dalam kejadian kepala air di Sungai Jahang dekat Gopeng pada Jumaat.
Muhammad Nasri Hamidi, 51, berkata, adik bongsunya, Mohamad Khairul Hakim, 37, merupakan Penolong Jurutera Kanan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Langkawi, Kedah sempat memaklumkan mengenai penyertaannya dalam aktiviti melibatkan agensinya itu pada khamis.
"Dia maklumkan hendak keluar ke Ipoh atas urusan kerja selama tiga hari dan saya minta dia berhati-hati sepanjang perjalanan.
"Perbualan kami panjang kerana bertanyakan khabar keluarga terutama tiga anaknya, hal-hal keluarga dan sebagainya, tidak sangka itu perbualan terakhir kami," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kampar di sini pada Sabtu.
Mohamad Khairul Hakim antara tiga kakitangan JKR yang ditemukan meninggal dunia akibat dihanyutkan kepala air ketika menjalani aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang dekat Gopeng.
Kejadian itu turut mengorbankan Jurutera Daerah JKR Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, Suhaili Mat Saad, 47, dan Pegawai Khidmat Pelanggan, JKR Daerah Langkawi, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29.
Tambahnya, dia berasa sedih mengenangkan tiga anak anak saudaranya berusia antara enam hingga 12 tahun kehilangan ayah yang paling rapat.
"Anaknya dua perempuan dan seorang lelaki masih kecil dan cukup manja dengan arwah kerana sifat ringan tulang membantu dalam menguruskan anak-anak termasuk makan dan tidur, jika isterinya kerja malam.
"Kami juga kehilangan adik yang sangat baik, banyak membantu keluarga termasuk menjaga ibu kami. Bulan November, mak meninggal kini adik pula ikut pergi bulan sama," katanya.
Jenazah Mohamad Khairul Hakim akan dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Bukit, Pokok Sena, Kedah untuk dikebumikan.