KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu yang didakwa cuba menimbulkan persepsi mengenai perjanjian jual beli tanah yang dimeterai antara Pasdec Holdings Berhad (Pasdec) dengan Petroluxe Refinery (M) Sdn Bhd (Petroluxe), 13 November lalu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Penasihat Undang-Undang Negeri telah diminta untuk meneliti perkara itu sekiranya terdapat sebarang unsur fitnah, menghasut serta menimbulkan sangkaan jahat terhadap kerajaan negeri.
Menurutnya, perjanjian jual beli yang dimeterai antara Pasdec dengan Petroluxe untuk tanah seluas 23.96 hektar di Gebeng melibatkan tanah pajakan 99 tahun untuk kegunaan industri.
"Sebagai pemaju hartanah, Pasdec membangunkan bank tanah yang dimiliki sama ada secara sendiri, melalui usaha sama atau penjualan kepada pihak yang akan memajukan projek tertentu dan ianya merupakan urusniaga biasa bagi syarikat terbabit.
"Sebagai pelabur, Petroluxe semestinya memerlukan jaminan guna pakai tapak loji penapisan tersebut secara berterusan dengan membeli tanah tanpa perlu menyewa untuk jangka masa yang terhad," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Wan Rosdy berkata, menerusi perjanjian tersebut, Pasdec akan memperoleh kira-kira dua peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama itu dan tidak munasabah
sekiranya Pasdec mempermodalkan tanah tersebut," katanya melalui kenyataan pada Sabtu bagi menjelaskan berhubung kenyataan Andansura yang didakwa cuba menimbulkan persepsi mengenai perjanjian jual beli tanah tersebut.
Wan Rosdy berkata, melalui hasil jualan tanah tersebut, Pasdec boleh mempercepatkan pembinaan projek-projek perumahan dan komersial yang sudah dalam perancangan.
"Projek-projek itu akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Pahang memiliki kediaman selesa pada harga yang berpatutan," katanya.
Jelas beliau lagi, Petroluxe adalah syarikat tempatan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pemegang saham majoritinya, Unigrand Petroluxe Sdn Bhd justeru tidak wujud isu pemilikan syarikat asing secara terus seperti didakwa.
"Syarikat itu juga sudah memperoleh kelulusan secara dasar daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mendirikan sebuah loji penapisan.
"Pelaburan itu bakal memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi
Negeri Pahang termasuk mewujudkan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan, limpahan peluang perniagaan dan percambahan ekonomi hiliran," ujarnya.
Sementara itu, dalam kenyataan tersebut, Wan Rosdy turut menjelaskan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah hanya untuk menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut.
"Saya berharap rakyat tidak terkeliru dengan permainan persepsi yang cuba ditimbulkan oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang itu seolah-olah Pasdec sewenang-wenangnya menjual tanah kepada pihak luar tanpa ada perancangan jangka masa panjang," ujarnya.