Keluarga hidup tanpa elektrik, tak cukup makanan

Iklan
Julailie Yasmin dan anak-anak menunjukkan pelita yang dihasilkan menggunakan minyak masak.

PASIR MAS - Cahaya pelita yang dihasilkan menggunakan minyak masak menjadi peneman setia buat sebuah keluarga dari Kampung Tanjong, Bunut Susu di sini bagi menerangi malam mereka selepas bekalan elektrik di rumah mereka terpaksa dipotong ekoran masalah bil tertunggak.

Pemotongan bekalan itu terpaksa dilakukan selepas keluarga berkenaan tidak mampu untuk melunaskan bayaran tunggakan berjumlah RM1,240.85 ekoran kesempitan hidup.

Iklan
Iklan

Bukan itu sahaja, akaun elektrik keluarga berkenaan terpaksa ditutup akibat tunggakan tersebut.

Julailie Yasmin menunjukkan surat pemotongan dan penutupan akaun ekoran masalah bil tertunggak.

Tidak cukup dengan itu, Julailie Yasmin Mohamed Zahari, 35, terpaksa memunggah air telaga sejauh 30 meter dan menggunakan dapur kayu dalam penyediaan makanan untuk dia dan anak-anak disebabkan tekanan hidup.

Iklan

Tanpa berselindung, Julailie Yasmin berkata, dia terpaksa menghantar anak sulungnya, Muhammad Nabihan Nasa, 15, mengikuti pengajian agama di sebuah pondok dekat Kampung Kedai Buloh, Pengkalan Chepa.

"Anak kedua pula, Alya Maisarah, 13, kini menghuni rumah anak yatim di Pasir Mas. Bukan mudah untuk buat keputusan ini namun disebabkan tidak mahu mereka keciciran dalam pelajaran saya terpaksa berbuat demikian.

Iklan

"Namun saya sedikit lega apabila Muhammad Naufal, 11, dan Muhammad Naqiuddin, 8, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Chenak mendapat bantuan makanan percuma di sekolah," katanya.

Menurutnya, dua lagi anaknya Muhammad Naim, 6, dan Alya Nazirah, 5, sedang mengikuti pengajian peringkat Prasekolah di SK Tanjong Chenak.

Katanya, dia kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas suami, Nasa Mohd Maghni, 37, tidak mampu bekerja ekoran masalah kesihatan.

Julailie Yasmin berkata, bagaimanapun bebanan keluarga sedikit berkurangan apabila suaminya gemar bercucuk tanam walaupun dibelenggu masalah kesihatan.

Keluarga ini masih menggunakan dapur kayu untuk memasak.

Julailie Yasmin tanpa berselindung mengakui mereka sekeluarga sentiasa 'terputus' bekalan makanan ekoran masalah kewangan.

Katanya, setiap kali perkara itu berlaku suaminya akan menggali segala hasil tanaman yang ada di sekeliling rumah.

"Ubi kayu rebus, tebu, kelapa muda adalah makan utama kami sekeluarga setiap kali terputus bekalan makanan," katanya.

Julailie Yasmin berkata, menu istimewa dia dan keluarga adalah nasi putih yang dimakan bersama budu dan ulam-ulaman.

Katanya, anak-anak mereka tidak pernah merungut walaupun kadang kala terpaksa mengikat perut.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Julailie Yasmin Mohamed Zahari menerusi

akuan CIMB (7050-99-5335).

Cahaya pelita yang dihasilkan menggunakan minyak masak menjadi peneman setia keluarga Julailie Yasmin