'PM yang berusaha singkirkan Israel daripada PBB' - Mujahid

Iklan
Mujahid

SHAH ALAM- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara pemimpin dunia yang paling lantang membela nasib Palestin dan berusaha menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, fakta juga membuktikan bahawa Malaysia tegas dan konsisten dalam mempertahankan hak Palestin, termasuk mengutuk perbuatan genosid berterusan yang berlaku di Gaza.

Iklan
Iklan

Malah katanya, Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel dan tidak ada sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

"Suara Perdana Menteri juga adalah antara pemimpin dunia yang paling lantang membela nasib Palestin.

Iklan

"Malah peluang lawatannya ke Arab Saudi dan Mesir digunakan untuk melobi Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) supaya Israel disingkirkan daripada keanggotaan PBB atas jenayah genosid yang telah diputuskan kesalahannya oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kenyataannya itu susulan kontroversi wawancara Anwar bersama wartawan CNN, Richard Quest yang dikatakan telah disunting, kononnya beliau bersetuju hak Israel mempertahankan diri selepas berlakunya serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang membawa kepada perang Israel - Palestin.

Iklan

Tambah Mujahid, kenyataan Ahli Parlimen Tambun itu semasa wawancara tersebut diputar belit oleh pemfitnah.

Jelasnya, menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB adalah usaha Malaysia kepada masyarakat antarabangsa bagi mendedahkan jenayah genosid Israel, namun soal kewujudan negara Israel dalam bahasa diplomasi antarabangsa adalah soal hak bernegara masing-masing.

"Malaysia tidak mengiktiraf Israel sejak merdeka lagi namun ia bukan bererti Malaysia akan ‘menghapuskan’ Israel.

"Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri menggunakan lobi antarabangsa mengutuk dan berusaha menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB atas dasar kemanusiaan di samping sentimen kemarahan terhadap Israel dikongsi banyak negara lain.

"Malaysia mengutuk kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa, namun bukan hak Malaysia secara moralnya untuk menggesa pembunuhan yang sama dilakukan ke atas rakyat Israel pula. Ia soal hak pejuang Palestin untuk mempertahankan buminya dari dijarah dan dijajah oleh tentera Zionis Israel,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak bersama Malaysia dan Perdana Menteri dalam meneruskan sokongan untuk menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB serta terus membela hak Palestin untuk bernegara secara berdaulat.

"Janganlah retorik politik sempit kita membutakan hakikat dan tidak dapat membezakan antara laras bahasa di platform antarabangsa dan sikap kita yang jelas terhadap jenayah perang Israel,” katanya.