PARIT - Jabatan Mufti Perak mahu lebih banyak program pengimarahan al-Quran dilaksanakan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, program seumpama itu dapat menggalakkan generasi muda Islam mendalami dan menguasai kitab suci dari peringkat awal.
"Saya kira banyak NGO (pertubuhan bukan kerajaan) termasuk Rumah Ngaji yang anjurkan program al-Quran.
"Cuma kalau boleh diperhebatkan lagi dengan persatuan-persatuan pelajar. Kita tukarlah sikit budaya program biasa kepada satu pendekatan yang dapat menjadi satu nilai tambah.
"Jika budaya al-Quran ini meriah di pusat pengajian, di situ mahasiswa kita lebih awal dapat menguasai, bukan setakat bacaan, tetapi pemahamannya dijadikan panduan hidup untuk masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menyempurnakan perasmian program Imarah Al-Quran di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini pada Sabtu.
Program anjuran bersama Rumah Ngaji Perak, Akademi Sinergi Ikhlas dan UTP itu antara lain bertujuan mengajak ummah mencintai, membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran.
Hadir sama, Pengarah Kanan Pusat Pembangunan Pelajar UTP, Dr Nurlidia Mansor; Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim dan Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Robaatun Hadayiah Harun.
Antara aktiviti diadakan termasuklah ceramah, taranum dan pembentangan kertas kerja oleh tokoh-tokoh seperti Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Shafiq Sahimi; johan qari Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, Aiman Ridhwan Mohd Ramlan serta johan qari Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun 2004, Radzi Kamarul Hailan.
Sementara itu, Zamri berkata, biarpun majoriti umat Islam sudah membaca al-Quran, namun ramai antara mereka belum dapat menguasai bacaan dan memahami isi kandungannya.
Katanya, perkara itu perlu diberi penekanan apatah lagi sebagai umat Islam, mendalami dan memahami al-Quran adalah satu perkara yang dituntut bagi memandu diri ke jalan yang benar.
"Statistik daripada kementerian pun sudah buktikan ramai yang boleh membaca al-Quran. Ia satu permulaan yang baik, cuma jika dapat tingkatkan sedikit dari sudut pemahaman.
"Masyarakat perlu didedahkan tentang keindahan al-Quran dan secara fizikalnya keindahan bacaan yang sedap, kemudian dari sudut pengajaran-pengajaran dalam kehidupan," katanya.