Atlet Muay Thai, Nur Amisha terima PJK Perak

Iklan
Nur Amisha dan Meor Mohamad Zulfikar menyifatkan pingat PJK yang diterima mereka menyuntik semangat untuk terus mencipta kejayaan membanggakan pada masa akan datang.

ATLET Muay Thai, Nur Amisha Azril Rizal menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sekali gus menyuntik semangatnya untuk terus mencipta kejayaan.

Nur Amisha menyifatkan kurniaan tersebut sesuatu yang tidak ternilai dalam kariernya sebagai atlet Perak.

Menurutnya, ia satu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi buat atlet sepertinya untuk terus meningkatkan prestasi.

Iklan
Iklan

"Semestinya saya rasa bangga dan bersyukur sebagai anak jati Perak dengan pengurniaan pingat ini. Segala pengorbanan dan usaha saya selama ini dalam sukan Muay Thai demi negeri dan negara mendapat penghargaan yang tidak ternilai.

"Saya juga ingin berkongsi kegembiraan ini bersama mereka yang banyak memberikan sokongan kepada kejayaan saya selama ini terutama sekali ibu bapa, adik-beradik, jurulatih, rakan-rakan seperjuangan di negeri Perak. Tidak lupa juga Persatuan Muay Thai Malaysia dan Majlis Sukan Negeri Perak," katanya kepada pemberita.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak ke-68 di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu.

Nur Amisha berkata, tumpuannya selepas ini terarah kepada karier profesional dalam sukan berkenaan di samping menggalas tanggungjawab untuk pasukan kebangsaan sekiranya diperlukan.

Iklan

Beliau turut meletakkan sasaran pingat emas di Sukan SEA di Thailand 2025 selain pingat emas di Kejohanan Dunia Muay Thai.

Sementara itu, atlet sepak takraw, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin berkata, kurniaan pingat itu menyuntik motivasi untuknya berusaha lebih gigih.

Katanya, ia disifatkan sebagai penghargaan tertinggi pernah diterima sebagai atlet.

"Bagi saya, ini salah satu pengiktirafan terbaik untuk pasukan juga. Saya harap pada tahun hadapan mungkin ada pemain lain yang akan dapat Insya-ALLAH. Saya doakan yang terbaik pada masa akan datang.

"Dengan adanya pingat ini mungkin saya lebih bermotivasi untuk berlatih bersungguh-sungguh seterusnya beroleh kejayaan," katanya yang turut menerima pingat PJK.

Turut menerima pingat sama pada istiadat itu, jurulatih pasukan hoki Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim serta atlet boling padang, Aleena Ahmad Nawawi.