KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Ibrahim Saad yang meninggal dunia petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada jam 10.50 pagi tadi.
Van yang membawa jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan pada jam 10.30 pagi.
Pengebumian Ibrahim, 78, dihadiri ratusan ahli keluarga dan rakan.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Mohd Shariff Omar dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom.
Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada 8.50 pagi untuk disempurnakan disusuli solat jenazah yang diimamkan anaknya Datuk Zairil Ayu Ibrahim.
Allahyarham yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dari 1990 hingga 1995 meninggal dunia pada jam 6.30 petang semalam di Hospital Pakar Damansara di sini akibat komplikasi pernafasan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Puan Sri Zainab Abdul Kadeer, 76, dan lima cahaya mata iaitu dua lelaki dan tiga perempuan.
Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Datuk Zaiful Ayu Ibrahim, 53, ketika ditemui menyifatkan Allahyarham sebagai seorang bapa yang tegas dan penyayang.
"Arwah ayah mahukan anak-anaknya belajar ke peringkat tertinggi. Saat-saat akhir saya sempat memberitahunya untuk tidak risau kerana kami akan menjaga ibu. Walaupun sedih dengan kehilangan ayah, tetapi kami reda dengan takdir," katanya.
Mohd Shariff pula berkata, dirinya kehilangan rakan seperjuangan yang baik manakala Mohd Johari menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang tekad membangunkan ekonomi golongan bumiputera di Pulau Pinang. - Bernama