KAJANG - Individu yang merakam perbualan dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, masih belum tampil kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau telah mengarahkan dua pegawai kanan SPRM untuk berjumpa peguam yang mewakili anak guam berkenaan bagi membincangkan perkara itu secara sulit.
"Ini kerana kita hormati profesion peguam yang mewakili anak guam terbabit.
"Namun, mereka telah pergi ke media dan timbul pelbagai cerita dan saya tak nak komen mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas Program Menembak SPRM Bersama Media 2024 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di sini pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan Azam mengesahkan seorang pemberi maklumat berkenaan kes klip video beberapa ADUN membincangkan rasuah telah berjumpa dengan pegawai suruhanjaya itu pada 30 Oktober lalu.
Ketika pertemuan itu, peguam kepada pemberi maklumat itu hanya memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat yang memperdengarkan beberapa orang sedang berbincang tentang wang.
Azam menggesa pemberi maklumat itu untuk membuat laporan rasmi dengan SPRM bagi memulakan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Undang-undang menyatakan apabila individu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, dia akan dilindungi oleh undang-undang.
Namun, undang-undang turut menyatakan jika individu itu didapati turut terlibat dalam kesalahan yang berlaku, perlindungan itu akan terbatal.
Selasa lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak khususnya SPRM susulan tular rakaman audio ADUN dikatakan sedang membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.