Sekolah terjejas banjir akan laksana PdPR

Iklan
Fadhlina (tengah) bersama sebahagian peserta yang mengikuti Program My Lesen (B2) Tahun 2024 Parlimen Nibong Tebal, pada Sabtu.

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan (KPM) bersiap sedia dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kepada murid dan pelajar yang kawasan mereka terkesan akibat banjir.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, persediaan rapi sudah diatur untuk sebarang kemungkinan termasuk mendepani banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku lebih awal kali ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KPM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan yang merangkumi tindakan sebelum, semasa dan selepas banjir.

Selain itu katanya, semua pihak termasuk pihak sekolah perlu bersedia apabila institusi pendidikan mereka dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Iklan

"Kita akan pastikan sekolah selamat, kondusif untuk meneruskan pendidikan anak-anak ini. Kalau sekolah itu tidak dapat meneruskan pendidikan seperti biasa kerana proses ataupun tempoh masa banjir itu masih lagi lama, PdPR akan dilaksanakan.

"Jadi semua guru kita ini sudah pun terlatih untuk membuat sebarang intervensi, khususnya terkait rapat dengan situasi banjir dan situasi-situasi lain yang terkait rapat dengan banjir," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program My Lesen (B2) Tahun 2024 Parlimen Nibong Tebal di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

Dalam majlis itu, seramai 656 pemohon terdiri daripada 378 pelajar sekolah, suri rumah dan nelayan memohon lesen memandu B2 secara percuma.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kerjasama semua agensi diperlukan bagi memastikan keselamatan pelajar dapat kembali ke sekolah dalam keadaan selamat selepas musim banjir.

Katanya, KPM menyediakan dua pasukan iaitu Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) bagi membantu murid dan pelajar dari aspek kaunseling serta pembelajaran.

Monsun Timur Laut (MTL) dijangka mencapai kemuncaknya pada penghujung bulan ini menyaksikan taburan yang tinggi di sempadan Malaysia-Thailand selain negeri di pantai timur serta Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, dalam tempoh itu, negeri-negeri berkenaan dijangka menerima taburan hujan antara 20 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding kadar biasa.