Kes FashionValet: SPRM beku akaun 30 Maple

Iklan
Azam Foto fail Bernama

KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak membekukan akaun 30 Maple Sdn Bhd (30 Maple) berhubung kes melibatkan platform e-dagang, FashionValet.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, selain menyita akaun FashionValet, SPRM juga bertindak membekukan akaun 30 Maple.

"Saya tidak berapa perasan perkembangan terkini mengenai 30 Maple tetapi SPRM telah membekukan akaun syarikat itu.

Iklan

"Seperti yang saya sebut dan maklumkan sebelum ini, siasatan masih dijalankan dan akan siap dalam tempoh dua minggu," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian semasa program menembak SPRM bersama media 2024 sempena sambutan ulang tahun SPRM ke-57 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia, di sini.

Iklan

Kata beliau, seramai 14 orang saksi telah dipanggil untuk melakukan rakaman percakapan setakat ini.

Bagaimanapun katanya, empat orang saksi lagi akan dipanggil bagi dirakam percakapan dalam masa terdekat.

"Setelah semuanya dijangka selesai dalam tempoh dua minggu, kita akan mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk membuat keputusan," ujarnya.

Ditanya sama ada terdapat penyelewengan dalam kes FashionValet, beliau berkata, perkara tersebut masih belum boleh dikongsikan kepada umum.

Tegas beliau, SPRM menyerahkan perkara itu kepada pihak TPR untuk memutuskannya.

Sementara itu ditanya perkembangan terkini siasatan kartel pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi melibatkan sebuah pertubuhan, Azam berkata, pihaknya sedang menyiapkan siasatan.

Menurut beliau, siasatan dijangka dapat diselesaikan dalam beberapa minggu.