MELAKA - Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka memberi jaminan kerja-kerja baik pulih lubang benam sedalam dua meter di depan Balai Polis Ayer Keroh yang berlaku pada pagj Sabtu akan disiapkan dalam tempoh tiga hari.
Pengarahnya, Mohamad Salzeli Mokhtar berkata, kejadian mendapan yang berlaku seawal jam 3 pagi di Jalan TU2, Taman Tasik Utama di sini, disedari pihak balai polis berdekatan dan kerja-kerja pembaikan segera dilakukan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku didakwa berpunca disebabkan aliran air longkang yang mengalir di celah-celah pembentung yang renggang hingga melemahkan struktur tebing sebelum berlaku jalan berlubang.
"Sepatutnya air longkang tidak masuk ke sini dan ada saliran lain, namun itu yang berlaku mendapan sedalam dan selebar dua meter.
Tambahnya, kerja-kerja pembaikan segera dilakukan lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu selain berharap orang ramai tidak gusar dengan beberapa insiden lubang benam yang dilaporkan sebelum ini.
"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana JKR sentiasa membuat pemantauan di setiap jalan di negeri ini," katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee yang turut meninjau lokasi, berkata, bagaimanapun bernasib insiden jalan berlubang itu tidak melibatkan kecederaan ataupun kemalangan jiwa kerana tiada kenderaan melalui jalan itu ketika kejadian berlaku.
Ujarnya, menggesa pihak berkaitan mengkaji semula projek pemasangan pembetung yang dijalankan sama ada benar-benar mengikut prosedur operasi standard (SOP) atau sebaliknya kerana telah beberapa kali kejadian seumpama ini dilaporkan bukan sahaja di negeri ini.
"Sebelum perkara buruk berlaku, lebih baik tindakan diambil dan tiada siapa sangka di bawah tanah ini telah kosong," katanya.