Elemen sukan tradisional, pintar meriahkan HPBS Terengganu

Iklan
Hassan (dua dari kiri) ketika Sambutan HPBS 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Taman Rekreasi, Pulau Kekabu

MARANG - Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2024 Peringkat Negeri Terengganu dimeriahkan dengan pelbagai program menarik termasuk acara Monsoon Smart Fun Run yang diadakan di Taman Rekreasi Pulau Kekabu di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Hassan Yaakob berkata, acara tersebut bukan sekadar acara larian tetapi turut menyelitkan elemen sukan tradisional dan pintar melalui 'checkpoint' yang telah ditentukan.

Iklan
Iklan

"Saya percaya kombinasi elemen sukan tradisional dan teknologi pintar ini mampu memperkukuhkan semangat komuniti.

"Selain itu, ia dapat meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perancangan bandar yang mampan dan pintar," katanya ketika berucap pada Sambutan HPBS 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Taman Rekreasi Pulau Kekabu di sini.

Iklan
Hassan (kiri) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang peserta ketika Sambutan HPBS 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Taman Rekreasi, Pulau Kekabu

Mengulas lanjut, Hassan berkata, sambutan HBPS tersebut diharapkan menjadi satu platform yang kukuh bagi mengeratkan hubungan antara semua pihak dengan sama-sama merancang serta melaksanakan pembangunan bandar dan desa.

"Ini bagi memastikan masa depan yang lebih baik, memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara," ujarnya.

Iklan

Dalam pada itu, Hassan berkata, sambutan HPBS 2024 Peringkat Negeri Terengganu telah dimulakan dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Program Penghijauan Negeri Terengganu di Taman Rekreasi Pulau Kekabu di sini pada Khamis lalu.

Menurutnya, usaha penanaman pokok tersebut merupakan suatu langkah penting dalam melindungi ekosistem selaras dengan matlamat Kempen Penanaman Pokok 100 Juta di peringkat kebangsaan.

Sementara itu, Hassan turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kerana telah mendapat penarafan 'Smart City Early Adopter' bagi tahun 2024.

"Tahniah kepada tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu kerana berstatus mampan dalam meneruskan komitmen kepada Agenda Kemampanan dan Daya Huni Bandar dengan indeks kemampanan keseluruhan sebanyak 84.79 peratus," jelasnya.

Selain Monsoon Smart Fun Run, terdapat pelbagai program menarik diadakan sempena HPBS 2024 Peringkat Negeri Terengganu antaranya sukan pantai, pertandingan mewarna, cabutan bertuah dan reruai bercirikan bandar pintar.