KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari menjelaskan bahawa perbualannya dalam satu video tular yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah telah disunting dan disebar dengan niat jahat.
Menurutnya, perbualan itu dibuat secara berseloroh dan bukan dalam konteks serius.
Jelasnya, individu yang bertemu dengannya disyaki mempunyai niat yang tidak jelas dan atas tanggapan itu beliau berbual secara sarkastik dan tidak formal.
"Oleh itu, adalah tidak wajar untuk merumuskan bahawa perbualan itu merupakan pengakuan atau tindakan yang bersifat melanggar undang-undang.
"Ia adalah komunikasi bersifat ringan, yang kini dimanipulasikan untuk memberi gambaran negatif terhadap saya.
"Tuduhan bahawa saya menerima komisen atau 'jolok' adalah satu fitnah yang tidak berasas dan direka untuk merosakkan reputasi saya di mata masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohd Arsad turut menjelaskan bahawa beliau menghormati kedudukan serta budi bicara Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
"Tuduhan bahawa saya menyalahkan mereka atau menyatakan projek saya 'dihalang' adalah tidak benar dan sengaja diputar belit termasuk dakwaan penglibatan ADUN Kawang, Pantai Dalit, Tanjung Batu dan Labuk dalam perbualan itu.
"Saya hanya merujuk kepada cabaran dalam melaksanakan projek besar di Sabah, di mana proses kelulusan melibatkan banyak pihak dan tahap prosedur yang tinggi," katanya.
Sehubungan itu, beliau bersedia dan komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain sekiranya diperlukan.
"Saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk meneliti segala tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap individu atau pihak yang masih menyebarkan maklumat yang salah atau memutarbelitkan kenyataan saya. Laporan polis juga telah dibuat bagi tindakan selanjutnya.
"Saya menggesa media dan semua pihak agar bersikap objektif dan adil dalam melaporkan isu ini. Berikan ruang kepada proses undang-undang dan tidak menjatuhkan sebarang hukuman atau kesimpulan yang boleh mengelirukan masyarakat," katanya.
Sebelum itu, Mohd Arsad merupakan ADUN ketiga daripada empat ADUN yang didedahkan menerusi video yang dimuat naik sejak Isnin lalu.