JITRA - Dua jenazah petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) yang lemas ketika melakukan aktiviti water rafting di Sungai Jahang, Gopeng, Perak petang semalam, selamat dikebumikan hari ini.
Jenazah Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, yang merupakan pegawai khidmat pelanggan di JKR Langkawi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Ar Rahmah, Melele, Kodiang dekat sini, kira-kira jam 2.15 petang.
Sementara jenazah Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, penolong jurutera kanan JKR Langkawi, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Pokok Sena pada jam 12.30 tengah hari.
Terdahulu jenazah Muhammad Ikram dibawa ke Masjid Ar Rahmah pada jam 12.25 tengah hari dan disolatkan selepas solat Zuhur pada jam 1.30 tengah hari dengan diketuai imam masjid tersebut Mohd Rizal Ahmad@Othman.
Kira-kira 100 jemaah terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan Allahyarham serta penduduk sekitar menyertai solat jenazah itu.
Ibu kepada Muhammad Ikram, Fatimah Walad, 70, berkata dia reda dengan kejadian yang berlaku kepada anak bongsu daripada empat beradik itu.
"Dia memang suka main air, tu yang dia nak pi sangat tu...sebelum tu dia sempat hantar gambar kawasan sungai itu, saya tengok memang tinggi, saya pun pesan berhati-hati, saya pun tak sangka sebab dia pun aktif sangat, benda nak jadi, tak apa la,” katanya.
Muhammad Ikram yang telah tiga tahun bertugas di Langkawi meninggalkan isteri Nur Afifah Amira Ahmad Fauzi, 29, dan seorang anak lelaki Aisy Adani berusia setahun tujuh bulan.
Dalam kejadian petang semalam, tiga petugas JKR lemas ketika melakukan aktiviti water rafting di Sungai Jahang, Gopeng.
Seorang lagi mangsa ialah Suhaili Mat Saad, 47, yang merupakan jurutera daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan berterusan yang menyebabkan air Sungai Jahang naik mendadak mengakibatkan satu bot water rafting yang dinaiki enam penumpang dan seorang guide atau pemandu peserta terbalik. - Bernama