SPRM digesa segerakan siasatan ADUN disyaki terlibat rasuah

Iklan
Laporan muka hadapan Sinar Harian. Gambar kecil: Nurul Syazwani

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa penuh untuk menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Ketua Penerangan Srikandi Bersatu, Nurul Syazwani Noh berkata, Seksyen 29(3) Akta SPRM memberikan kuasa prerogatif kepada agensi itu untuk menyiasat kes-kes melibatkan kepentingan awam tanpa perlu aduan rasmi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan terus boleh dilakukan memandangkan terdapat bukti berbentuk lapan video yang menyokong amalan rasuah itu.

"Sekiranya SPRM lambat bertindak atau ragu-ragu, ia akan menimbulkan persepsi bahawa agensi ini tidak bebas dan masih di bawah pengaruh politik.

Iklan

"Malangnya laungan anti-rasuah hanya terpakai kepada musuh-musuh politik kerajaan, bukan atas nama keadilan dan kepentingan rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Media tempatan sebelum ini melaporkan terdapat kira-kira lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit untuk projek negeri.

Iklan

Nurul Syazwani berkata, sikap berdolak-dalik SPRM dalam kes itu dilihat mencurigakan dan menimbulkan persoalan sama ada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 telah cukup mantap untuk menjadi salah satu mekanisme membanteras rasuah dan penyelewengan.

Ujarnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai rasuah dan tampil secara sukarela untuk membuat pendedahan harus diberi keutamaan perlindungan di bawah Akta Pelindungan Saksi.

Bagaimanapun katanya, dalam kes di atas, saksi terpaksa mengadu kepada media setelah SPRM tidak memberi respon kepada permintaan beliau mendapatkan pelindungan.

"Sikap sambil lewa SPRM dalam kes ini menunjukkan akta ini tidak cukup kuat kerana memberi kuasa yang terlalu luas kepada SPRM untuk menolak, menerima atau melewat-lewatkan proses permohonan pelindungan saksi.

"Justeru kami menuntut kerajaan untuk segera memperkukuhkan undang-undang ini supaya pemberi maklumat tidak lagi takut menjadi sasaran tindakan balas, termasuk intimidasi, serangan, atau kehilangan pekerjaan," katanya.

Katanya, tanpa perlindungan kukuh, pemberi maklumat akan terdedah kepada bahaya dan akan menghalang orang lain daripada tampil untuk mendedahkan penyalahgunaan kuasa di masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Sabtu mengesahkan pemberi maklumat berkaitan kes rasuah ADUN masih belum membuat laporan rasmi kepada pihaknya.

Azam berkata, SPRM tidak boleh mengulas lanjut berkaitan video yang dikeluarkan di media sosial sama ada video itu dimaksudkan benar membabitkan ADUN terbabit atau tidak.

Ini kerana katanya, SPRM tidak boleh hanya bergantung kepada video tersebar di media sosial untuk menyiasat.