KELAB Ligue 1, Perancis Olympique Lyonnais tidak boleh membuat sebarang pembelian pemain pada jendela perpindahan Januari selain akan diturunkan dari liga teratas pada penghujung musim sekiranya masih gagal menangani isu tadbir urus kewangan.
Direktorat Kawalan Pengurusan Kebangsaan Perancis (DNCG), polis kewangan liga Perancis, pada Sabtu mengenakan hukuman itu terhadap Lyon milik John Textor, yang kini berada di kedudukan kelima Ligue 1.
Sebagai sebahagian daripada hukuman itu, DNGC juga akan menyelia senarai gaji Les Gones berkenaan.
Textor, yang juga memiliki sebahagian kelab liga Brazil, Botafogo, RVD Molenbeek (Belgium) dan Crystal Palace (England), adalah pemegang kepentingan majoriti Lyon melalui Eagle Football Group, sebuah syarikat induk yang disenaraikan di Paris.
"Anda tidak sepatutnya hanya melihat Olympique Lyonnais, tetapi hakikat bahawa kami adalah kumpulan yang memiliki beberapa kelab.
"Saya yakin dengan angka kita dan berita baiknya ialah DNCG bebas, mereka adalah orang yang sangat bijak, akauntan, pembiaya yang boleh melihat angka itu.
"Kami akan menjana beberapa juta dolar dalam bentuk tunai dalam beberapa bulan lagi, dan untuk jangka masa panjang,”kata Textor kepada media Perancis pada hari Jumaat.
Sebagai rekod, Lyon membelanjakan sekitar 145 juta euro dalam jendela perpindahan sebelum ini.
Pada Ogos, L'Equipe melaporkan bahawa Lyon telah meletakkan majoriti pemain skuad di pasaran perpindahan untuk mengumpul 75 juta euro bagi mengimbangi bajet selain memenuhi sasaran jualan kewangan.
Bagaimanapun dakwaan media tempatan berkenaan dinafikan oleh Textor.