Sidek Fadzil pemikir sastera

Iklan
Sidek Fadzil

SIDEK Fadzil (Allahyarham, Datuk Dr Profesor) terkenal sebagai pemikir bangsa berorientasikan Islam dan aktivis kegiatan yang bercorak keIslaman.

Tetapi hakikat yang tidak diketahui ramai orang, beliau juga sebenarnya seorang pembicara dan pemikir sastera terutamanya sastera Islam.

Iklan
Iklan

Meskipun mendapat ijazah pertama dalam pengajian Islam dengan kelas pertama Universiti Malaya, namun ijazah sarjana dan kedoktorannya ialah pengajian Melayu di bawah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, di bawah penyeliaan Tan Sri Profesor Diraja Dr Syed Mohd Naquib Al-Attas.

Kemudian Allahyarham bertugas di Jabatan Persuratan Melayu dengan mengajar beberapa kursus pemikiran budaya dan sastera. Di situlah beliau bertugas hingga bersara dengan jawatan profesor.

Iklan

Mendapat pendidikan di Sekolah Izzudin Shah, Ipoh selama lapan tahun dan lulus Syahadah Ilmiah, yang membolehkan melanjutkan pelajaran ke mana-mana universiti Islam terutamanya di Mesir dan Arab Saudi.

Tetapi memilih menggunakan kelulusan akademik sekolah tersebut dalam SPM dan melanjutkan ke Maktab Perguruan Bahasa Kuala Lumpur, kemudian bertugas sebagai guru.

Iklan

Sidek Fadzil mempunyai kemampuan yang luar biasa dalam penguasaan bahasa Arab tinggi, Fushah. Seorang yang petah dan lancar berbicara, pernah mewakili sebagai ketua debat Bulan Bahasa Kebangsaan.

Mempunyai disiplin diri, sehingga dilantik sebagai Ketua Umum di sekolah tersebut. Wataknya serius, disegani dan dihormati. Namun, beliau juga seorang yang suka berjenaka dan senang didekati.

Semasa di Maktab Perguruan Bahasa 1967-68, bersama-sama Anwar Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), memimpin perjuangan gerakan ke arah penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia yang menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu.

Salah satu kegiatannya menganjurkan"Seminar Pendidikan Se-Malaysia”. Ramai tokoh pendidik dan pemimpin dijemput membentangkan kertas kerja, termasuklah pejuang bahasa seperti Zainal Abidin Abdul Wahid (Allahyarham, Datuk) dan pejuang sastera Ismail Hussein (Allahyarham, Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendeta).

Tugas saya ialah membuat penyiaran dan perhubungan ke seluruh negara supaya penyertaannya meluas dan seminar itu menjadi sebuah perhimpunan terbesar untuk penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beberapa kali saya ke pejabat Utusan Melayu dan Berita Harian untuk memberikan liputannya. Hampir empat bulan kami bekerja daripada perancangannya hinggalah kepada penjelmaan hari seminar itu.

Ijazah sarjananya, Sidek Fadzil melakukan penyelidikan terhadap"Ash-Shaykh Muhammad Abduh: Suatu Tinjauan Kritis terhadap Pemikirannya dan Rumusan mengenai Pengaruhnya dalam Masyarakat Melayu” pada tahun 1978. Semasa menjadi pensyarah di UKM, Allahyarham mengajar kursus pemikiran budaya dan beberapa kursus sastera.

Justeru itu, Sidek Fadzil sangat mahir dengan pemikiran sastera Melayu klasik, sastera kitab dan sastera perundangan.

Selama lebih 20 tahun di UKM banyak menyelia latihan ilmiah, tesis sarjana dan kedoktoran dalam bidang budaya pemikiran dan sastera. Seperti pensyarah lainnya terlibat dalam penganjuran pelbagai seminar dan menulis kertas kerja tentang pemikiran tamadun Melayu, sastera dan gerakan Islami.

Dalam situasi demikian Allahyarham menjadi aktivis dalam gerakan Islami seperti pernah menjadi presiden ABIM sebelumnya.

Saya selamanya menjadi sahabatnya lapan tahun di Sekolah Izzudin Shah, dua tahun di Maktab Perguruan Bahasa dan lebih 20 tahun di Jabatan Persuratan Melayu UKM.

Ada masanya saya bersama Allahyarham Aminuddin Yusof dan Murad A Manaf mengunjungi beliau di rumahnya, dan di situlah kami mengikuti perjuangan gerakannya. Seorang yang sangat komited dan penuh iltizam untuk membangunkan masyarakat Melayu Islam Madani.

"Masalah besarnya ialah orang Melayu tidak bersatu, dan banyak sangat politik Melayu. Di samping ramai yang terlibat pula hanya mementingkan diri sendiri bukan untuk bangsa,” demikian antara lain katanya yang saya masih ingat.

Politik

Saya pernah mencadangkan supaya Sidek Fadzil sendiri masuk dalam politik. Beliau lebih suka sebagai aktivis dan melontarkan idea dan gagasan. Anwar Ibrahim memasuki politik juga atas pandangan Sidek Fadzil. Malah gagasan penubuhan PKR dan Parti Amanah juga mendapat sentuhan pemikirannya.

Sidek Fadzil melihat bahawa hambatan utama dalam usaha perpaduan Melayu, justeru itu beliau meneruskan kritikannya terhadap ahli-ahli politik tanpa mengira mana-mana parti yang hanya berminat mengejar kuasa dan menambahkan jumlah pengikut masing-masing.

Pada tahun 1985 dengan tajuk"Mengembeling Tenaga Ke Arah Peningkatan Prestasi Amal Islami” beliau membuat seruan bahawa sengketa politik dalam kalangan parti politik Melayu mestilah diselesaikan menerusi kaedah Adab al-Ikhtilaf.

Dari aspek penulisan buku Sidek Fadzil menghasilkan tidak lebih daripada 20 buah, yang kebanyakannya tertumpu kepada pembangunan tamadun Melayu Islam dan sistem pendidikan tanah air.

Beliau tidaklah begitu prolifik, mungkin disebabkan masanya banyak tertumpu ke arah gerakan dan aktivis Islamiah.

Pandangan dan analisisnya terhadap sastera Melayu termuat dalam buku, antaranya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1999), Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat (2012) dan Fikrah Siddiq Fadzil: Citra Budaya dan Peradaban Melayu-Islam (2022) yang merupakan himpunan cetusan apresiasi terhadap kehadiran Islam ke Alam Melayu yang dianggapnya sebagai sebuah anugerah ALLAH SWT yang amat berharga.

Menyedari bahawa khazanah yang ditinggalkan Islam belum sepenuhnya dimanfaatkan oleh umat manusia, bermulanya pena Sidek Fadzil beraksi merakamkan sejarah kedatangan, penyebaran Islam di rantau Alam Melayu.

Antara lain pemikirannya dalam sastera Melayu ialah, bahawa persuratan Melayu-Islam yang melahirkan umat baru dengan pandangan agama dan kebudayaannya, umat yang melihat segala sesuatu dengan worldview tawhidik, menyikapi segala sesuatu berasaskan etos dan tatanan nilai Islami.

Beliau juga menyarankan supaya sastera Melayu kembali ke pangkuan sastera Islam. Adalah menjadi tanggungjawab penulis kembali menghidupkan semula sastera akidah Islami.

Pemikiran dan gagasannya terhadap sastera, meletakkannya juga sebagai pemikir sastera di samping pemikirannya terhadap tamadun Melayu Madani.

Segala sumbangannya telah menobatkannya dalam perayaan sambutan Jubli Intan Sekolah Izuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah 1959-2024 pada 21 September 2024 bersama dengan santapan diraja DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sidek Fadzil telah dianugerahi sebagai tokoh pelajar.

Meletakkannya sebagai pelajar paling cemerlang sepanjang 65 tahun sejarah persekolahan. Anaknya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut hadir sama dalam majlis yang penuh seri gilang gemilang itu.

Tidak syak lagi, selain sebagai pemikir Melayu Islam madani, Sidek Fadzil juga terlibat dalam kegiatan kesusasteraan terutamanya sastera klasik, yang membenarkannya sebagai pemikir sastera.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia