SETIAP kali tiba musim tengkujuh, golongan nelayan antara yang paling terkesan dengan faktor cuaca itu kerana mereka tidak dapat turun ke laut sekali gus hilang punca pendapatan.
Bagi nelayan, terutama nelayan bot-bot kecil, tempoh Monsun Timur Laut (MTL) antara November hingga Mac setiap tahun satu tempoh getir buat mereka kerana ada yang terpaksa mengikat perut.
Wartawan Sinar Harian NIK AMIRULMU'MIN NIK MIN menyelami keresahan nelayan dari Balok, Kuantan yang akan berdepan cabaran musim tengkujuh.
Rata-rata nelayan yang ditemui mengakui resah setiap kali bermulanya musim tengkujuh namun mereka tiada pilihan selain terpaksa melalui tempoh getir itu dengan 1,001 macam kesulitan.
Bagi Zakaria Harun, 52, yang menjadi nelayan sejak 38 tahun lalu berkata, istilah mengikat perut sudah sebati dengan nasib nelayan kecil sepertinya setiap kali tiba musim tengkujuh.
Katanya, paling utama adalah masalah kewangan kerana dia dan rata-rata nelayan terpaksa 'simpan bot' sekali gus terputus sumber pendapatan untuk menampung perbelanjaan keluarga.
"Sewa rumah, bil api dan air tertunggak itu perkara biasa berlaku apabila tidak dapat ke laut dalam tempoh agak panjang.
"Kadang-kadang terpaksa sentuh wang simpanan untuk menampung keperluan termasuk makan minum dan keperluan keluarga yang lain,” katanya yang masih menyara dua anak termasuk seorang di universiti.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia bergantung sepenuhnya kepada laut untuk mencari rezeki.
"Hendak buat kerja lain tak pandai apatah lagi dalam usia seperti sekarang tiada yang mahu gajikan kita sebagai pekerja.
"Kadang-kadang beralih ke sungai cari lokan dan siput sedut untuk dijual dengan pendapatan tidak seberapa selain menggunakan kesempatan 'rehat' musim tengkujuh membaiki jaring dan peralatan menangkap ikan lain,” katanya.
Berbeza bagi Zainal Mohd Zin, 35, dia tetap akan turun ke laut walaupun pada musim tengkujuh sekiranya keadaan mengizinkan.
Katanya, selagi boleh dia tetap turun ke laut walaupun sedar risiko bahaya dihadapi.
"Sekarang sudah masuk permulaan monsun, kami nelayan kecil masih ke laut sementara menunggu kemuncak musim.
"Biasanya tempoh dua bulan kemuncak kami akan menyerah kalah kerana keadaan laut bergelombang dan terlalu bahaya bagi nelayan,” katanya.
Zainal berkata, lebih membebankan dia tidak menerima bantuan bulanan RM300 seperti nelayan lain.
"Beban ditanggung agak berat kerana bot digunakan masih ada hutang yang perlu dibayar tiap bulan.
"Saya tiada pilihan, apabila keadaan mengizinkan saya tetap akan turun ke laut dengan pelbagai pertimbangan untuk cari wang belanja,” kata bapa kepada empat anak itu.
Zainal yang tinggal menyewa mengakui pernah mengalami sewa rumah tertunggak kerana tidak dapat turun ke laut namun sedikit lega apabila tuan rumah memahami kesulitan dihadapinya.
"Situasi sukar yang pernah dilalui ini menyedarkan saya supaya lebih bersedia dengan menyimpan sebahagian hasil pendapatan untuk kegunaan waktu terdesak,” ujarnya.
Sementara itu, Sulong Muda, 79, pula berkata, tidak semua nelayan akan simpan bot sepanjang musim tengkujuh.
Dia sendiri walaupun sudah lanjut usia tetap turun ke laut selagi keadaan mengizinkan dan biasanya tidak bersendirian.
"Tetap cari celah-celah peluang turun ke laut supaya dapur berasap.
"Kalau tidak dapat ke laut, saya akan menjala ikan belanak di tepi-tepi pantai untuk dijual,” kata warga emas yang sudah 60 tahun menjadi nelayan ini.
Pertimbang bantuan khas sekali beri musim tengkujuh
Bantuan khas secara sekali beri musim tengkujuh antara inisiatif yang dicadangkan bagi membantu mengurangkan beban golongan nelayan terutama nelayan kecil mengharungi musim tengkujuh setiap tahun.
Ketua Komuniti Nelayan Balok, Kamarul Shah Mohamed, 51, berkata, inisiatif itu sebagai tambahan kepada bantuan bulanan RM300 yang diterima nelayan berdaftar ketika ini.
Menurutnya, bantuan pada kadar munasabah itu dilihat dapat membantu meringankan beban golongan itu yang rata-rata hilang mata pencarian dalam tempoh tersebut.
"Sekurang-kurangnya, sediakan bantuan barangan keperluan kepada nelayan juga melalui sistem kupon yang boleh ditebus di pasar raya terpilih berdekatan.
"Dalam situasi ekonomi sekarang dengan kenaikkan harga barang keperluan, bantuan bulanan RM300 itu tidak mencukupi,” katanya.
Pada masa sama, Kamarul Shah berkata, sekiranya ada bantuan untuk golongan itu, sebaiknya ia diagihkan segera dan bukan selepas tengkujuh berakhir.