RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup minyak diesel dan petrol ke negara jiran dalam serbuan berasingan di sini pada Jumaat dan Sabtu.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan pertama dilakukan jam 8 pagi oleh Batalion 7 PGA Kuantan di pangkalan haram Ajit di sini pada Jumaat.
"Semasa melaksanakan penugasan Op Taring Wawasan, anggota bertugas telah mengesan seorang lelaki sedang memindahkan tong minyak ke dalam perahu.
"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek telah melarikan diri ke negara jiran dan meninggalkan bahan bakar terbabit di tepi Sungai Golok.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima tong mengandungi 100 liter minyak petrol ditemukan di pangkalan haram terbabit," katanya pada Ahad.
Menurut beliau, bahan bakar itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dan anggaran nilai rampasan ialah RM256.25.
Ujarnya, barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Nik Ros Azhan memberitahu, dalam serbuan kedua, Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa telah menahan sebuah kereta jenis Honda Accord dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram Yasin, Lubok Gong di sini pada Sabtu sekitar jam 12.30 tengah hari.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 150 liter minyak diesel ditemukan dalam but kenderaan terbabit dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
"Seorang lelaki Myanmar berusia 58 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan anggaran nilai rampasan kenderaan ialah RM30,000 manakala diesel RM442.50," katanya.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang.