DUBAI - Kemajuan dan kepakaran Emiriah Arab Bersatu (UAE) membuat pemantauan bencana alam dan tindak balas pantas mendepani krisis menggunakan teknologi satelit dan kecerdasan buatan (AI) boleh dicontohi Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk meningkatkan keupayaan sama melalui inovasi teknologi angkasa.
"Saya melihat kepakaran UAE dalam Al dan sambungan satelit mempunyai potensi besar untuk meningkatkan keupayaan Malaysia, khususnya dalam pemantauan bencana alam dan tindak balas pantas.
"Dengan teknologi canggih ini, kita bukan sahaja dapat memperkukuh infrastruktur komunikasi negara, malah kita juga akan dapat memastikan rakyat Malaysia terus menikmati akses digital yang lebih luas dan selamat," katanya menerusi hantaran Facebook pada Sabtu.
Pada Khamis, Ahmad Zahid bersama delegasi Malaysia mengadakan lawatan ke Space42 di Abu Dhabi.
Ketibaan Ahmad Zahid dan delegasi disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yahsat Space Services, Ali Al Hashemi.
Space42 merupakan pusat inovasi yang memanfaatkan teknologi AI, komunikasi satelit dan analitik geospatial.
Program bersempena lawatan rasmi beliau selama tujuh hari ke UAE bermula 13 November itu menandakan langkah penting ke arah kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan UAE dengan memanfaatkan teknologi canggih untuk memacu pertumbuhan mampan, meningkatkan ketahanan serta memperkukuh kerjasama serantau.
"Melalui kerjasama strategik ini, saya optimis bahawa kita mampu membina masa depan di mana teknologi memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Insya-ALLAH,” katanya.
Dalam satu lagi hantaran, Ahmad Zahid berkata, setibanya di Dubai hari ini, beliau telah mempengerusikan sesi ‘Pre-Council’ bersama delegasi Malaysia bagi membincangkan secara terperinci mengenai lawatan beliau di sini.
"Tumpuan utama kami adalah untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor halal global serta meneroka peluang strategik yang dapat memperhebat pengembangan industri ini di pasaran antarabangsa.
"Doakan semoga segala urusan kami di Dubai ini berjalan lancar seterusnya memberi impak positif kepada negara khususnya dalam memperkasakan industri halal Malaysia. Amin," katanya.
Ahmad Zahid dijadual merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Dubai 2024 dan bertemu dengan pihak berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.