BEGITULAH panasnya cerita akan wujud ‘Pakatan Nasional’ (PN) sekarang hingga kecoh satu negara. Semua orang mula bercakap tentang muafakat baharu dan kerajaan baharu menggantikan Pakatan Harapan (PH) sekarang.
Maka, semua orang pun berilah komen termasuk Tun Perdana Menteri sendiri. Banyak jugalah menteri yang komen termasuk Lim Guan Eng, yang sebelah pembangkang pun banyak juga yang komen.
Awang tak tahulah betul atau tidak akan wujud pakatan baharu itu. Ada yang kata kemungkinannya besar memandangkan gabungan PH sekarang ini ada masalahnya. Ada yang kata pakatan baharu itu tak sesuai dengan semangat Malaysia Baharu. Ada juga yang kata ia bertentangan dengan perlembagaan negara.
Ada juga yang kata PN tidak akan berjaya kerana di dalamnya tidak termasuk parti bukan Melayu dan bumiputera. Maksudnya, kalau gabungan itu hanya babitkan parti Melayu dalam PH sekarang selain UMNO dan Pas, maka parti dari Sabah dan Sarawak akan menolaknya.
Tun Perdana Menteri pun ada komen bahawa sejak merdeka, konsep kongsi kuasa dah berlaku antara kaum. Kabinet diwakili oleh pelbagai bangsa.
Awang hairan macam mana cerita PN ini boleh timbul. Agaknya ada tukang canai cerita untuk panaskan suasana politik yang sememangnya panas sekarang. Mungkin juga ada dalang dalam PH sendiri yang sengaja bangkitkan cerita. Mungkin juga datang daripada pimpinan tertinggi PH nak ‘uji’ atau test water pandangan di bawah. Mana kita tahu? Atau ciptaan pembangkang untuk tunjuk mereka masih relevan.
Tapi Awang setuju juga dengan pandangan yang mengatakan cakap-cakap pasal PN ini tambah mengharubirukan negara kita.
Malaysia Baharu haru-biru
Awang tertarik dengan komen Tuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO yang kata Malaysia Baharu sekarang dah jadi Malaysia Haru-Biru. Tentulah sebagai pembangkang, Tuk Seri akan cakap begitu.
Tapi bagus juga kalau orang kuat PH sekarang fikir-fikirkan komen itu. Bukan sebab beliau orang UMNO tapi beliau juga orang luar yang memandang PH dari jauh. Rakyat sendiri pun jadi keliru dengan apa yang berlaku. Macam kata Tuk Seri Mad Hasan, PH tak dapat selesaikan masalah pengganti PM. Politik dalaman parti dalam PH nampaknya makin kelam-kabut.
Rakyat pilih PH untuk baiki keadaan negara, majukan negara, tolak pemimpin korup, kurangkan beban hidup dan turunkan harga barang. Pemimpin PH harus sediakan papan putih tulis semua janji manifesto mereka pada tahun 2018 dan tandakan mana satu dah tertunai, mana satu belum.
Tuk Seri Mad Hasan juga sebut terlalu banyak politicking dalam negara hari ini. Masa banyak habis berpolitik hingga lupa keperluan asas rakyat.
Awang rasa kenalah pimpinan PH ambil iktibar pandangan itu. Macam-macam musibah yang melanda dunia hari ini. Tempiasnya terkena kat kita juga. Ekonomi kita bukanlah baik sangat.
Pemimpin PH harus belajar daripada apa yang berlaku kepada UMNO dan BN. Ada pemimpin mereka mabuk kuasa dan salah guna kedudukan, rakyat hukum mereka pada tahun 2018.
Jangan pisang berbuah dua kali, kata orang.